FundMyHome bukan skim monopoli, kata pegawai Guan Eng


Yasmin Ramlan

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Tony Pua berkata syarikat lain boleh menubuhkan skim sama seperti FundMyHome untuk pembeli rumah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2018.

PLATFORM perkongsian pelaburan FundMyHome bukan satu bentuk monopoli oleh syarikat tertentu, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan Tony Pua. 

Jelasnya, skim tersebut merupakan projek perintis kerajaan Pakatan Harapan tetapi syarikat lain boleh menubuhkan skim sama untuk pembeli rumah,

“Saya ingin jelaskan salah faham yang mengatakan MyFundHome adalah monopoli. Ia bukan monopoli.

“FundMyHome adalah salah satu daripadanya (projek perintis) kerana kami (Pakatan Harapan) yang datang dengan idea tersebut.

“Tapi ia terbuka kepada pihak lain untuk mengadakan platform yang sedemikian rupa kepada orang ramai,” katanya.

Beliau mengulas kritikan bekas perdana menteri Najib Razak bahawa skim tersebut dimonopoli pihak tertentu kerana sudah ada pihak yang mengetahui mengenainya sebelum diumum kerajaan.

Ini memandangkan, kerajaan sudahpun menamakan syarikat EdgeProp Sdn Berhad sebagai pengendali platform berkenaan, semasa pembentangan Belanjawan 2019 minggu lalu.

Platform berkenaan seterusnya dilancarkan pada Ahad.

Najib turut mempersoalkan sama ada skim berkenaan sudah dikaji dengan rapi kerana rSuruhanjaya Sekuiti menyatakan bahawa butiran projek tersebut baharu akan disemak.

Ahli Parlimen Damansara itu turut menjelaskan, skim rumah mampu milik yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu mengutamakan perlindungan terhadap pembeli rumah dan juga pelabur.

Rumah berkenaan kebanyakannya akan dibina oleh pemaju swasta dan pembeli perlu membayar hanya 20% daripada harga hartanah, manakala bakinya akan disumbangkan dengan menyertai institusi itu.

“Komplikasi akan tiba apabila kita bincangkan bagaimana untuk melindungi (hak) pelabur, lindungi pembeli rumah dan lindungi pembeli  daripada pemaju perumahan yang tidak bertanggungjawab yang meletakkan harga hartanah yang melambung tinggi. Jadi pembeli beli dengan 20%. 

“Jadi terdapat banyak perkara untuk dipertimbangkan bagi mengelakkan terjadinya gelembung hartanah (property bubble),” katanya.

Institusi-institusi ini mendapatkan bahagian keuntungan masa depan jika nilai rumah itu naik.

Selepas lima tahun, pembeli boleh memilih untuk menjual rumah itu atau kekal dengan membiayai semula rumah menggunakan skim.

Ia menjanjikan satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan bantuan pembelian daripada skim berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan wartawan veteran Kadir Jasin di blognya hari ini yang mengatakan skim perumahan itu menampakkan kerajaan mengamalkan kronisme.

Bagaimanapun, Pua berkata pihak pemaju sudah mengulas mengenai perkara tersebut dan mengulangi semua pihak boleh melakukan platform sedemikian. 

“The Edge telah mengulas perkara itu. Perkara utama yang saya ingin bangkitkan ialah ia merupakan satu platform yang terbuka untuk semua (pemain industri) selagi menepati keperluan yang ditetpkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC),” katanya kepada pemberita selepas forum tersebut. – 9 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen