Najib persoal skim FundMyHome dalam Bajet 2019 


Bekas perdana menteri Najib Razak menerusi Facebooknya mempersoalkan sama ada skim berkenaan sudah dikaji dengan rapi atau sebaliknya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2018

PELANCARAN skim FundMyHome dua hari selepas ia diumumkan pada Bajet 2019 membuktikan seolah-olah ada pihak tertentu tahu skim ini akan diumumkan oleh kerajaan, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Dalam posting di Facebooknya, beliau menyatakan bagaimana platform penjanaan dana masyarakat oleh EdgeProp San Bhd diumumkan dalam bajet yang dibentang pada Jumaat dan dilancarkan pada Ahad.

Beliau turut mempersoalkan sama ada skim berkenaan sudah dikaji dengan rapi, dan menyatakan Suruhanjaya Sekuriti pada Isnin berkata, ia akan menyemak butiran.

“Ada pihak tertentu macam tahu-tahu saja skim ini akan diumum (dalam Bajet).

“Saya rasa sama seperti banyak perkara yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, kesemua ini sebenarnya masih belum ada perancangan rapi atau masih dalam peringkat kajian. Malah, tidak memberi manfaat kepada rakyat,” tulis Najib.

Skim FundMyHome, dilancarkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Ahad, menjanjikan satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan bantuan pembelian daripada skim berkenaan.

Rumah berkenaan kebanyakannya akan dibina oleh pemaju swasta dan pembeli perlu membayar hanya 20% daripada harga hartanah, manakala bakinya akan disumbangkan dengan menyertai institusi itu.

Institusi-institusi ini mendapatkan bahagian keuntungan masa depan jika nilai rumah itu dihargai.

Selepas lima tahun, pembeli boleh memilih untuk menjual rumah itu atau kekal dengan membiayai semula rumah menggunakan skim FundMyHome atau gadai janji bank biasa.

EdgeProp Sdn Bhd diuruskan oleh pemilik Kumpulan Media The Edge Tong Kooi Ong.

Pada pelancaran skim itu, Tong berkata ia juga akan membantu pemaju menjual harta mereka. – 8 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen