Kekalkan bantuan sara hidup, kata nelayan di Terengganu


Noor Azam Shairi

Dalam satu kajian profil dilakukan Universiti Malaysia Terengganu, 69% nelayan negeri itu tergolong dalam kumpulan miskin tegar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 November, 2018.

NELAYAN di Terengganu berharap kerajaan tidak akan menghentikan bantuan sara hidup kepada golongan nelayan sebaliknya menimbang untuk menambahnya khusus bagi musim tengkujuh yang bermula minggu ini. 

Mereka juga berharap akan ada beberapa insentif baharu untuk nelayan dalam Belanjawan 2019 yang akan pertama kali dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada Jumaat. 

Tekong bot, Ismail Mat Diah, 63, berkata mulai minggu ini nelayan di pantai timur Semenanjung Malaysia sudah tidak lagi ke laut kerana laut bergelora. 

“Musim tengkujuh ini memang penat sedikit bagi nelayan,” katanya ketika ditemui di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Besut, Terengganu, kelmarin. 

“Kita harap khas untuk masa tiga bulan ini kerajaan beri tambahan. Kalau RM200 (yang kerajaan beri sekarang) cukupkah nak makan sebulan? 

“Kita nelayan ini kalau tak keluar ke laut, anak tak makan,” tambahnya, yang sejak umur 14 tahun lagi sudah jadi nelayan. 

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan angin kencang timur laut dengan kelajuan sehingga 50 km sejam dijangka berlaku di perairan pantai timur Semenanjung Malaysia sehingga Sabtu ini. 

Nelayan berdepan masalah kewangan dalam musim tengkujuh yang melanda sekarang, mereka berharap kerajaan membantu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 November, 2018.

Keadaan laut bergelora, dengan ombak sehingga 3.5 meter tinggi, berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan, kata jabatan itu dalam satu kenyataan media. 

Tekong Ismail Mat Diah berharap kerajaan memberikan bantuan khas kepada nelayan sepanjang musim tengkujuh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 November, 2018.

Seorang lagi tekong, Mohamad Awang, 69, berharap kerajaan bermurah hati untuk meluaskan bantuan tunai sedia ada kepada nelayan yang sudah tidak lagi ke laut. 

“Bukan untuk bantu yang sihat (yang masih ke laut) tetapi untuk nelayan yang tua (yang tidak lagi ke laut). 

“Kita nelayan ini orang di laut, bukan kerja di darat,” katanya. 

Ismail menambah nasib nelayan sama tidak ubah seperti penoreh getah yang kehilangan sumber pendapatan apabila datang musim tengkujuh antara November dan Januari. 

“Dalam tiga bulan itu hendak makan apa?” tanya. 

Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini memperkenalkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM200 sebulan kepada pekebun kecil dan penoreh getah bagi menjamin kebajikan mereka sepanjang tiga bulan musim tengkujuh. 

Tekong Mohamad Awang berkata nelayan seperti penoreh getah yang pekerjaan mereka bergantung kepada musim, dan musim tengkujuh memberikan cabaran besar terhadap kumpulan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 November, 2018.

Bantuan sara hidup

Sejak Jun 2008, nelayan tempatan yang berlesen dan ke laut dengan vesel berdaftar, serta pemilik individu vesel perikanan, menerima bantuan sara hidup sebanyak RM200 atau RM300 sebulan untuk meringan beban mereka. 

Jun lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub memberi jaminan kerajaan PH tidak akan memansuhkan elaun sara hidup nelayan. 

Dalam satu wawancara sebulan kemudian, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun mengulangi kenyataannya kerajaan Pakatan tidak mampu meneruskan pemberian elaun untuk nelayan. Katanya, pemberian wang tunai secara umumnya akan menjejaskan daya saing dan menyebabkan rakyat bergantung kepada bantuan kerajaan. 

Minggu lalu, Dr Mahathir turut mengingatkan rakyat supaya sedia berkorban kerana kerajaan tidak akan lagi memberi bantuan kewangan dengan mudah seperti ketika BN memerintah dahulu. 

Katanya, bantuan oleh pentadbiran Najib itu diberikan semata-mata untuk mendapat sokongan dan undi supaya mereka terus berkuasa. 

Sejak Jun 2008, nelayan tempatan yang berlesen dan ke laut dengan vesel berdaftar, serta pemilik individu vesel perikanan, menerima bantuan sara hidup sebanyak RM200 atau RM300 sebulan untuk meringan beban mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 November, 2018.

Kemahiran sara hidup

Dalam pada itu, pensyarah ekonomi di Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Madya Nur Azura Sanusi berkata bantuan kewangan kerajaan tidak akan membantu menaikkan taraf hidup nelayan yang rata-ratanya tergolong dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah atau B40. 

“Duit tunai itu akan habis sekejap saja kalau kita bandingkan dengan kemahiran. Kemahiran akan kekal lebih lama,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Terengganu. 

Beliau merujuk projek yang dijalankan oleh UMT dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melibatkan antaranya kumpulan nelayan di Kuala Nerus dan Setiu. 

Katanya, projek berkenaan cuba memberikan kemahiran baharu kepada nelayan untuk berdikari dan menambah pendapatan termasuk menguasai rantaian nilai perikanan dengan menghasilkan produk daripada ikan. 

Profesor Madya Nur Azura Sanusi daripada Universiti Malaysia Terengganu berkata hanya perubahan pemikiran dengan menambah baik kemahiran serta pendidikan boleh mengubah nasib nelayan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 November, 2018.

Isteri nelayan turut ditawarkan latihan keusahawan sementara anak nelayan diberikan bimbingan dan galakan akademik untuk membolehkan mereka keluar dari kepompong kemiskinan, tambahnya. 

“Yang penting hendak diubah dalam kalangan nelayan ini ialah cara pemikiran mereka yang cukup makan,” katanya. 

Terengganu mempunyai 9,533 nelayan berlesen dengan pecahan 7,114 nelayan tempatan dan 2,419 nelayan asing, berdasarkan statistik 2017 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan. 

Berdasarkan satu kajian profil nelayan oleh UMT, hampir 69% nelayan di Terengganu tergolong dalam kategori miskin tegar dan miskin. – 1 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen