Tentang rejuvenasi dan gentrifikasi


Badrul Hisham Ismail

KEBELAKANGAN ini, terdapat banyak usaha yang dilakukan untuk membaikpulih, menggiat semula, dan menghidup kembali kawasan kota yang dikira suram dan merosot. Seperti kebanyakan perkara, usaha yang juga digelar rejuvenasi ini bukanlah suatu fenomena baru.

Bertujuan menghidupkan dan memberi nafas baru kepada kawasan yang tidak lagi berseri, usaha ini boleh dilihat pesat berlaku di kota seperti Georgetown dan Melaka, serta dalam program yang dikelola oleh Think City di Kuala Lumpur, juga oleh penggiat kecil-kecilan yang lain. Walaupun tujuan rejuvenasi ini boleh dikira timbul daripada niat yang baik-baik belaka, namun seperti yang banyak berlaku di kota lain, ianya sering bernatijah dengan gentrifikasi.

Gentrifikasi merupakan satu terma yang sering digunakan oleh ramai pihak, dan memberi maksud yang berbeza kepada setiap pengguna. Bagi sesetengah pihak, gentrifikasi bermaksud segala anasir luar yang menyerap masuk ke kawasan setempat.

Bagi pihak yang lain, ia bermaksud pemodenan dan merupakan lumrah pembangunan yang tidak dapat dielak. Ada juga berpendapat gentrifikasi bermaksud kemasukan kafe, jejaka berpomade, dan gadis hijabster. Tetapi yang jarang disebut adalah impak dan bahananya.

Menurut satu hasil kajian oleh Brookings Institute, gentrifikasi boleh ditakrifkan sebagai sebuah proses di mana penduduk berpendapatan tinggi menggantikan kebanyakan penduduk berpendapatan rendah di sesebuah kawasan, yang secara langsungnya merubah ciri utama kawasan tersebut. Dalam erti kata lain, gentrifikasi mengusir penduduk berpendapatan rendah dan merubah jalinan masyarakat di kawasan tersebut.

Melihat dari sudut ini, jelas gentrifikasi harus ditentang. Segala usaha rejuvenasi harus mengambil kira faktor ini, supaya tidak ada golongan yang teraniaya dan terpinggir. Ini termasuklah aktiviti pembaikpulihan bangunan warisan, mengadakan acara festival bertaraf antarabangsa, serta membuka kedai makan atau kedai kopi artisanal.

Namun begitu, seperti yang saya sebut di atas, ramai yang berpendapat bahawa gentrifikasi merupakan satu lumrah yang tidak dapat dielak, demi pembangunan. Kawasan kota yang terlihat suram perlu dicantikkan, dan ekonomi yang merudum perlu disuntik untuk berkembang. Demi menaikkan taraf hidup sebahagian penduduk, segelintir yang lain perlu dikorbankan. Saya sendiri tidak bersetuju dengan pandangan ini kerana bagi saya, lebih mulia untuk tidak menyusahkan orang daripada hanya menguntungkan segelintir pihak.

Jadi, persoalannya sekarang, bagaimana kita melawan arus gentrifikasi? Adakah dengan menyekat perkembangan ekonomi? Bolehkah kita membendung gentrifikasi sambil menggalakkan pertumbuhan ekonomi? Sejujurnya, saya bukanlah seorang pakar ekonomi, dan tidak punya jawapan pertanyaan di atas. Tetapi saya tahu serba sedikit tentang beberapa langkah yang boleh diambil untuk mempertahankan jalinan masyarakat, sambil membela kehidupan penduduk setempat, dengan cara yang tidak akan menjejaskan perkembangan ekonomi.

Pertama, kita harus berkenalan dengan jiran tetangga dan penduduk setempat. Di Malaysia, proses urbanisasi masih sedang berlangsung dengan pesat. Migrasi penduduk luar bandar ke kota, dan pemindahan penduduk di dalam kota sendiri, menyebabkan hubungan sesama penduduk semakin merenggang. Kita tidak lagi kenal dengan jiran tetangga. Hasilnya, tiada lagi ukhwah sesama komuniti setempat yang menyebabkan proses gentrifikasi berlaku tanpa tentangan.

Seperti yang saya sebut di atas, antara unsur utama gentrifikasi adalah pengusiran penduduk berpendapatan rendah. Dahulu terdapat banyak kes, di Malaysia dan di kota-kota lain, di mana penduduk setempat bekerjasama mempertahan jiran mereka yang hendak diusir.

Bertahun dahulu sewaktu saya tinggal di sebuah penempatan kos rendah di Kuala Terengganu, saya sendiri pernah menyaksikan bagaimana penduduk di situ membantu salah seorang jiran yang hendak diusir oleh tuan rumahnya, dengan sama-sama mengadap dan berbicara dengan tuan rumah, sambil mengumpul sedikit derma. Hasilnya, jiran tersebut masih dapat tinggal di sana.

Perpaduan kejiranan seperti ini, yang juga dapat membantu penduduk daripada dieksploitasi oleh pemaju dan pasaran, harus dipupuk. Dan langkah pertama untuk memupuknya adalah dengan berkenalan dengan jiran tetangga.

Kedua, kita harus menyelamatkan ruang awam. Semakin hari, semakin banyak ruang awam di kota kita diambil alih oleh entiti swasta, yang hanya berminat untuk mengaut keuntungan atau mencapai agenda peribadi. Akibatnya, penghuni kota semakin kehilangan hak terhadap kota yang seharusnya milik bersama.

Di kota New York, saya pernah bekerja dengan sebuah badan bebas bernama 596 Acres, dikepalai oleh Nona Paula Segal, di mana kami memetakan tanah-tanah kosong milik awam, dan menggalakkan penduduk setempat menggunakan tanah tersebut untuk aktiviti masyarakat. Hasilnya, kini ramai komuniti di kota New York, khususnya di Brooklyn, mengambil alih ruang awam daripada pihak swasta dan mengelolanya sendiri.

Selain itu, perkara utama yang menjadi kunci melawan arus gentrifikasi, adalah menggesa rumah mampu milik. Kos rumah yang tinggi merupakan faktor utama yang menyebabkan penduduk kota terpaksa berpindah ke tempat yang lain, jauh dari pusat bandar. Oleh itu, undang-undang yang membela penduduk berpendapatan rendah harus diperkuat untuk membela mereka.

Semasa di sebuah konferensi yang pernah saya hadiri di New School, New York, Professor Emiritus Peter Marcuse pernah berkata, dalam isu perumahan, terdapat satu musuh yang harus ditentang habis-habisan, iaitu market, atau dalam bahasa kita, pasaran. Dia berkata harga rumah tidak boleh tertakluk kepada harga pasaran, kerana tempat tinggal merupakan hak yang harus diberi kepada setiap insan. Rumah harus mampu dimiliki oleh semua, dan semestinya saya bersetuju dengannya.

Baru-baru ini, di kota New York lagi, jabatan perumahannya telah memutuskan untuk memberi dana sebanyak USD1.65 juta untuk membina dan memperluas Community Land Trust (CLT). CLT, atau dalam Bahasa Melayu boleh disebut sebagai tanah wakaf komuniti, merupakan badan yang mengurus tanah dan menggalakkan penduduk-penduduk di tanah tersebut, atau tuan punya, untuk menetapkan terma dan syarat penggunaan tanah itu. Kebanyakan CLT menetapkan syarat bangunan di atas tanah mereka tidak boleh dijual untuk keuntungan. Langkah-langkah seperti ini adalah salah satu perkara yang boleh kita pelajari dan amalkan di kota kita.

Banyak lagi usaha lain yang boleh diambil untuk membendung dan melawan arus gentrifikasi, sambil merejuvenasi kota kita. Setiap penduduk boleh bermula dengan kemampuan masing-masing, dan usaha yang berkesinambungan dan tidak putus pasti akan memperoleh hasil dan bernatijahkan sesuatu yang menguntungkan kita bersama. – 14 Ogos, 2017.

*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen