Zakaria kembali bertugas di FGV minggu depan


Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Bhd (FGV) Zakaria Arshad kembali bertugas pada 16 Oktober depan. – Gambar The Malaysian Insght, 9 Oktober, 2017.

KETUA Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Bhd (FGV) Zakaria Arshad akan menyambung semula tugas pada 16 Oktober depan selepas siasatan dalaman berhubung penyelewengan membabitkan urusan dengan salah satu anak syarikatnya dengan syarikat Afghanistan, Safitex selesai, umum kumpulan itu hari ini.

FGV berkata hasil dapatan daripada siasatan dalaman membabitkan anak syarikatnya Delima Oil Products Sdn Bhd telah dihantar kepada Menteri Kewangan (diperbadankan).

“Selepas mengambil kira program transformasi FGV dan komitmen serta jaminan GP/CEO untuk menyelesaikan hutang lama Safitex Trading LLC, Menteri Kewangan (diperbadankan), mahu Zakaria kembali bertugas sebagai CEO dan presiden kumpulan FGV,” katanya dalam satu kenyataan. 

Zakaria digantung tugas pada Jun bagi membolehkan FGV pihak pasukan audit dalaman menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dalam urusan antara Safitex dan Delima Oil Products Sdn Bhd, bernilai beberapa juta ringgit.

Zakaria digantung tugas bersama ketua pegawai kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha dan beberapa yang lain oleh pengerusi FGV Mohd Isa Samad.

Pada sidang media Isa membayangkan terdapat pelanggaran prosedur dalam urusniaga antara Safitex dan Delima Oil. 

Pada hari berikutnya, Zakaria memberitahu pada sidang media bahawa beliau tidak lagi oleh bekerja bersama Isa dan salah seorang daripada mereka perlu meninggalkan FGV.

Zakaria kemudiannya meneruskan tindakan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 7 Jun.

Pada 15 Ogos, SPRM menahan Isa, yang ditukarkan ke Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, berhubung pembelian hotel d Kuching dan London oleh Felda Investment Corporation.

Suruhanjaya itu berkata FIC telah membeli sebuah hotel di Kensington, London antara 2013 dan 2015 dengan harga yang tinggi menyebabkan anak syarikat Felda itu menanggung kerugian jutaan ringgit.

FIC dilaporkan membeli hotel empat bintang pada harga  £60 juta (RM333 juta) pada 16 Disember 2014 yang mana nilainya ketika itu adalah RM110 juta.

Isa kemudiannya dibebaskan pada 20 Ogos dan tidak didakwa atas apa-apa tuduhan. – 9 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen