Isa Samad bebas tahanan reman


Pada Rabu lalu, bekas pengerusi Felda, Isa Samad ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung pembelian hotel FIC di London dan Sarawak dengan nilai melebihi harga pasaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2017.

BEKAS pengerusi Felda, Isa Samad dibebaskan daripada tahanan reman oleh Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Zainal Abidin Kamarudin yang mengendalikan prosiding itu membenarkan Isa, 68, dibebaskan dengan jaminan RM150,000 dengan dua penjamin.

Isa kelihatan tersenyum sebaik keluar dari bilik bicara mahkamah pada kira-kira 10.45 pagi, disambut sorakan gemuruh penyokongnya di perkarangan Mahkamah Majistret Putrajaya.

Isa yang berbaju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga dibawa ke mahkamah kira-kira 9.50 pagi, dengan lebih 100 penyokong serta keluarga termasuk isterinya Bibi Sharliza Mohd Khalid.

Peguamnya K. Kumaraendran berkata SPRM tidak memohon lanjutan tempoh reman berikutan anak guamnya memberikan kerjasama penuh dalam siasatan itu.

Pada Rabu lalu, mahkamah sama membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman lima hari terhadap Isa.

Isa dibawa ke mahkamah dengan memakai baju-T lokap pegawai SPRM dan peguamnya, Kumarendran dan K. Devkumar.

SPRM memohon untuk mendapatkan perintah tahanan reman terhadap Isa susulan siasatannya terhadap pembelian dua hotel di London dan Kuching oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Isa ditahan ketika hadir ke ibu pejabat SPRM untuk merekodkan keterangannya jam 2.40 petang pada Selasa.

SPRM pada masa ini sedang menyiasat pembelian hartanah oleh FIC di Kensington, London antara 20133 dan 2015 dengan jumlah £60 juta (RM330 juta), sedangkan harga pasaran pada masa pembelian dikatakan RM110 juta.

SPRM bulan lalu mula membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel di London, pada 2014 oleh FIC, yang dipercayai dibayar pada kadar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran hingga menyebabkan anak syarikat Felda itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

Selepas itu, SPRM menjalankan siasatan berhubung kes pembelian hotel di Kuching oleh FIC, juga dipercayai dibayar pada kadar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran hingga menyebabkan anak syarikat Felda itu kerugian besar.

Dua hari lalu, SPRM dilaporkan sedang menyiasat satu lagi kes pembelian hotel FIC di Kota Kinabalu, Sabah.

Isa meletakkan jawatan di FGV sebelum dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), dua bulan lalu. – 20 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen