MAHKAMAH Majistret Putrajaya hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman lima hari terhadap bekas pengerusi Felda Isa Samad.
Bekas pengerusi Felda dan Felda Global Ventures Bhd (FGV) itu tiba pada 9.08 pagi dengan diiringi pegawai SPRM dan peguamnya, K Kumarendran dan K. Devkumar.
Turut berada di mahkamah ialah isterinya Bibi Sharliza Mohd Khalid dan beberapa ahli keluarga.
Perintah reman itu diberikan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang meliputi menggunakan pengaruh dalam salah guna kuasa.
Perkarangan mahkamah sejak pagi lagi dipenuhi wakil media dan orang awam yang ingin mengikuti prosiding permohonan reman terhadap bekas pengerusi Felda itu.
SPRM memohon untuk mendapatkan perintah tahanan reman terhadap Isa susulan siasatannya terhadap pembelian dua hotel di London dan Kuching oleh Felda Investment Corporation (FIC).
Permohonan reman itu dibuat di hadapan Majistret Zainal Abidin Kamarudin. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman. Peguam N. Sivananthan turut hadir bagi pihak Isa.
Isa ditahan ketika hadir ke ibu pejabat SPRM untuk merekodkan keterangannya jam 2.40 petang semalam.
SPRM pada masa ini sedang menyiasat pembelian hartanah oleh FIC di Kensington, London antara 20133 dan 2015 dengan jumlah £60 juta (RM330 juta), sedangkan harga pasaran pada masa pembelian dikatakan RM110 juta.
Malam semalam, SPRM turut menjalankan pemeriksaan di rumah Isa di Selangor dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berkata ia proses biasa yang dilakukan agensi itu selepas menahan seseorang individu berhubung dakwaan rasuah.
SPRM bulan lalu mula membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel di London, pada 2014 oleh FIC, yang dipercayai dibayar pada kadar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran hingga menyebabkan anak syarikat Felda itu mengalami kerugian jutaan ringgit.
Selepas itu, SPRM menjalankan siasatan berhubung kes pembelian hotel di Kuching oleh FIC, juga dipercayai dibayar pada kadar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran hingga menyebabkan anak syarikat Felda itu kerugian besar.
Isa meletakkan jawatan di FGV sebelum dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), dua bulan lalu.
Pemimpin pembangkang, kumpulan persatuan sivil dan peneroka Felda memuji tindakan SRPM menahan Isa, dan berharap penahanan itu akan membawa kepada penyelesaian masalah Felda. – 16 Ogos, 2017.
Komen