Henti sandiwara, selesaikan isu FGV, kata pemimpin pembangkang


Amin Iskandar

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia petang semalam menahan Isa Samad berhubung pembelian hotel di London dan Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2017.

MASIH terlalu awal untuk meraikan penahanan Isa Samad kerana ia tidak menjamin penyelewengan dalam Felda dan Felda Global Ventures Holdings (FGV) ditamatkan, kata pemimpin pembangkang.

Mereka berkata, sejarah penahanan dan pendakwaan tokoh di Malaysia sebelum ini selalunya berakhir dengan tokoh itu bebas selepas perbicaraan di mahkamah.

“Kita tidak mahu lagi didendangkan dengan drama seperti yang berlaku dalam kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) apabila semua tertuduh akhirnya dibebaskan,” kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar kepada The Malaysian Insight.

“Penahanan Isa ini masih lagi di peringkat yang terlalu awal, masih belum tentu didakwa dan dibicarakan.”

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang semalam menahan Isa berhubung pembelian hotel di London dan Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Bekas pengerusi Felda dan FGV itu sebelum ini pernah disoal siasat berhubung urus niaga berkenaan.

Isa meletakkan jawatan dalam FGV sebelum dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dua bulan lalu.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, sekiranya benar PAS di tiga buah negeri mahu bekerjasama dengan PH, ia satu perkembangan yang positif untuk Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2017.

Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai berharap SPRM akan turut bertindak tegas dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar berharap penahanan Isa tidak menjadi seperti “plot filem” yang sering “diputarkan” sebelum ini.

“Apakah ini plot filem ‘Felda 1’ yang mana Isa akan ditahan dan didakwa. Kemudian Mahkamah Tinggi akan jatuhkan hukuman bersalah kepada Isa sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Akan tetapi, selepas PRU14, Mahkamah Rayuan akan membebaskan Isa, seperti yang selalu berlaku sebelum ini,” kata bekas naib presiden PAS itu, yang senada dengan Nurul Izzah.

Mahfuz berkata, tindakan seharusnya diambil terhadap orang yang bertanggungjawab melantik Isa sebagai pengerusi Felda dan FGV sebelum ini.

“Perdana Menteri Najib Razak yang melantik Isa harus bertanggungjawab.

“Selepas bermasalah di Felda dan FGV, Isa kemudiannya dipindahkan sebagai pemangku SPAD, seolah-olah mahu menutup mulut Isa agar tidak membongkarkan rahsia orang yang melantiknya,” katanya.

Mahfuz turut mendesak agar Isa dipecat sebagai pemangku pengerusi SPAD agar masalah lain tidak ditimbulkan dalam agensi itu.

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) dalam kenyataan mengalu-alukan penahanan Isa turut membuat gesaan yang sama kepada perdana menteri.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki memaklumkan penahanan Isa merupakan tindakan susulan hasil daripada keterangan yang dirakam pasukan penyiasat berhubung pembelian hotel terbabit sebelum ini.

“Justeru itu, SPRM yakin mempunyai asas yang kukuh untuk membuat penahanan tersebut supaya dapat membantu melengkapkan siasatan kes tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata penahanan Isa membuktikan apa yang dikatakan oleh pemimpin pembangkang selama ini benar.

“Sewaktu Isa dilantik sebagai pengerusi Felda dan FGV dulu, kita dah kata ia pasti akan menimbulkan masalah.

“Kita dah kata pelantikan Isa sudah pasti akan menjejaskan Felda,” kata bekas ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal itu.

Salahuddin berharap penahanan Isa akan mengikut proses undang-undang dan sekiranya didapati bersalah, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu tidak terlepas daripada hukuman. – 16, Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen