BR1M bagus tapi tak capai kumpulan sasaran, kata Dr Wan Azizah


Asila Jalil

BR1M tidak diserakkan dengan baik mengambil kira tanggungan keluarga serta tempat asal negeri penerima, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Jun, 2018.

BANTUAN Rakyat 1Malaysia (BRIM) adalah inisiatif yang baik tetapi tidak sampai ke kumpulan sasar yang memerlukannya, kata Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, jumlah diperuntukkan kepada keluarga tidak diserakkan dengan betul walaupun jumlahnya besar.

“BR1M bagus, RM7 bilion diperuntukkan untuknya. Bagaimanapun, sebuah keluarga yang mungkin ada lapan anak dan satu lagi keluarga ada seorang anak tapi mereka dapat jumlah yang sama.

“Ia tidak buktikan BR1M capai matlamatnya,” katanya kepada wartawan di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Putrajaya hari ini.

Dr Wan Azizah menggunakan contoh Kelantan dan Sabah apabila penerima BR1M di kedua negeri itu tidak selaras dengan kadar kemiskinan mereka.

Beliau menegaskan yang bantuan itu tidak sampai ke kumpulan sasaran dan tidak diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“BR1M juga tidak diberikan kepada kumpulan sasaran. Ada yang berpendapatan lebih RM3,000 tetapi masih dapat BR1M,” tambahnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan BR1M akan diteruskan tetapi akan disemak bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima bantuan itu.

Beliau juga tidak mahu rakyat menganggap BR1M sebagai habuan untuk meraih sokongan rakyat lagi, tetapi dilihat sebagai inisiatif mengekang masalah sosial.

Putrajaya juga mengumumkan penukaran namanya, daripada BR1M kepada Bantuan Sara Hidup Malaysia. – 21 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen