Disiplin ilmu bukan sentimen murahan


ADA seorang pensyarah yang mendakwa dirinya ahli akademik di utara semenanjung menjerumuskan dirinya dalam kancah yang sepatutnya jadi mainan politikus murahan. Katanya dia pensyarah di UUM.

Nuansa ahli akademik ini agak menghina keilmuan golongan yang berakal tapi pada waktu sama dia berbangga berada di gedung ilmu yang sepatutnya menjana akal dan minda yang progresif dan maju.

Saya hanya respons atas dakwaannya kepada YB Hannah Yeoh atas buku “Becoming Hannah”, yang setelah membacanya ia tidak menjadikan saya Kristian sepertimana didakwa pensyarah ini, kononnya buku ini ada unsur memurtadkan orang Islam.

Saya tidak ada apa pun isu dengan pensyarah dari UUM ini, saya hanya mahu menegaskan dia tidak mewakili umat Islam kerana tiada umat Islam yang mahu dikaitkan dengan kejumudan dan pencemaran toksik rasis dan agama sempit seperti dia. Dengan hanya beberapa perkataan terhad saya pun tweet “akan baca buku Hannah Yeoh dan harap saya akan terus menjadi Muslim”.

Tweet saya rupanya ditularkan dengan cacian dan penghormatan. Saya sudah biasa dengan itu semua, namun kerana ada orang yang enggan diwakili pensyarah ini, suara saya menjadi satu “gangguan” pada kelompok yang ingin membajai kejumudan diselitkan dengan insinuasi politik tentang anti DAP.

Saya tidak kenal pensyarah ini tetapi kerana keengganan tunduk pada kejumudan pemikirannya saya diheret dengan tulisan beliau terhadap saya. Ada tiga tulisan yang dimuatkan dalam status mukabukunya. Saya dinasihatkan peguam untuk menjawab dua saja kerana salah satu tulisannya itu akan dikendalikan peguam.

Dua tulisan daripada pensyarah tersebut seolah-olah hendak menafikan kenyataan saya dalam satu artikel disiarkan di The Star pada 26 Mei, 2017 bertajuk “Yusof Rawa Tried Middle Path”.

Kenyataan saya di hujung artikel ialah: “The Amanah party has recognised his leadership by continuing his legacy of openness” – mengiktiraf Haji Yusof Rawa atas sikap keterbukaannya.

Sebagai rekod Amanah meletakkan Yusof Rawa, Fadhil Nor dan Nik Abdul Aziz sebagai legasi contoh yang patut diteruskan pemikiran politik mereka atas keterbukaan mereka dan bukti kejayaan mereka dalam persada demokrasi di Malaysia. Kenapa pensyarah ini terasa tertekan dengan pengiktirafan Amanah kepada tiga tokoh parti Islam ini?

Saya tidak faham apabila pensyarah ini tersinggung malah membawa poin panjang tentang tahaluf siyasi yang ayahanda saya tegaskan. Tiada siapa yang pertikai semua itu dan tidak ada siapa membuat perbezaan dengan tahaluf semasa Haji Yusof Rawa dan parti politik pada waktu itu dengan sekarang yang Amanah sertai. Mengheret pada sesuatu yang tidak disentuh oleh saya adalah tulisan sia-sia yang Allah saja tahu apa motifnya.

Berkenaan tesis saya, pensyarah ini mendakwa ia kajian lokal iaitu tentang konflik di dalam organisasi PAS Melaka dan bukan tentang PAS Malaysia.

Ya sekurangnya ada gunanya “tajam” pengenalan dia tetapi malangnya sebagai ahli akademik dia patut tahu PAS Melaka adalah sampel kepada pemikiran konflik dalam PAS secara umum dan seorang pengkaji terpaksa terlebih dulu membuktikan adanya insiden dan fenomena konflik dalam organisasi tersebut sebelum memutuskan untuk mengambil sampel kajiannya di bahagian mana atau di negeri mana kajian akan dibuat. Konflik dalaman memang wujud dalam PAS sejak sebelum Asri dan post Asri dan semasa kepimpinan ulama.

Justeru, tidak ada alasan isu lokal atau nasional, kita mengkaji fenomena malah lebih mudah untuk pengkaji selanjutnya membuat sampel di nasional kerana sudah ada kerangka kajian berstruktur dibentuk oleh kajian konflik di Melaka.

Sepatutnya ia cabaran pada ahli akademik untuk melanjutkan kajian kerana tidak ada pengkaji konflik dalam organisasi parti Islam dibuat secara disiplin konflik di Malaysia. Saya amat menghargai jika ada pihak lain yang membuat kajian, ia boleh meluaskan lagi dapatan yang saya temui.

Pensyarah yang dakwa saya “menipu” menggunakan tesis saya juga mungkin lupa, salah satu “alat” untuk kajian dalam kualitatif ialah penulisnya sendiri kerana kajian kualitatif deskriptif saya tidak menggunakan alat statistik untuk mengumpul maklumat tetapi melalui wawancara, analisa dokumen, perhatian dan paling utama ialah pengalaman pengkaji sendiri. Itu memberi kualiti kepada kajian yang dibuat.

Saya tidak tahu pensyarah ini ada atau tidak pengalaman dalam organisasi PAS, tapi saya ada rekod sebagai pimpinan Pemuda, AJK PAS Pusat dan menerajui Lujnah Perpaduan Nasional serta perintis pembentukan DHPP dan aktiviti dialog dengan berbagai agama. Tidak kurang pengalaman memimpin negeri Melaka dan Pulau Pinang dan pernah menjadi YDP Kawasan Jasin, Bayan Baru dan Bukit Gelugor.

Melainkan pensyarah ini ada rekod lebih cemerlang dalam PAS, saya menganggap pandangannya pada PAS hanyalah akademik yang duduk dalam bilik malah lebih buruk jikalau dia hanya merupakan penulis upahan demi mendapat sesuatu habuan peribadi, saya harap saya silap.

Kegilaan pensyarah ini menyerang Amanah dan saya serta obsesinya pada kebencian DAP tidak kenal batasan dan nilai keilmuan. Dia sanggup menganggap maqasid syariah ialah atas dorongan DAP dan G25 hanya kerana mereka menyokong pendekatan maqasid. Jadi Amanah dengan pendekatan maqasid syariah adalah boneka DAP dan kelompok liberal!

Saya tidak tahu apakah bidang kajian pensyarah ini tetapi kejahilannya kepada disiplin maqasid benar-benar menyerlahkan “kecerdikannya”. Dia sanggup memetik kata-kata ayahanda Haji Yusof Rawa yang tidak ada kena mengena dengan isu maqasid. Maqasid seperti semua sedia maklum bukan menolak Al-Quran dan Sunnah malah maqasid menemukan tujuan utama syariah diturunkan dengan merujuk kepada prinsip umum dan khusus yang diambil dari Al-Quran dan Sunnah.

Seorang ahli akademik kerana obsesinya yang sempit sanggup memperlekehkan maqasid syariah yang merupakan asas kepada pembinaan negara dan masyarakat malah ketamadunan itu sendiri.

Penasihat Amanah, Ahmad Awang tidak silap apabila menyatakan perjuangan parti ini ialah untuk mencapai tujuan besar syariah iaitu nilai kemanusiaan, keadilan dan kesejahteraan sejagat. Berbeza dengan sesetengah pihak di Malaysia yang mendakwa parti Islam, yang hanya memaparkan Syariah=Hudud dan Hudud=Syariah, itulah Islam.

Memetik kesilapan tarikh yang saya catatkan dan membetulkannya adalah satu-satunya perkara jujur yang dibuat pensyarah ini dalam tulisannya dan saya amat menghargainya. Namun motif tersebut diselitkan dengan sinis bagi mencapai motif besar penulisannya iaitu memperlekehkan saya.

Sesiapa pun berhak mengkritik mana-mana hasil penulisan. Sebagai rekod, buku-buku saya yang dipetik dalam tulisannya sekurang-kurangnya menampakkan idea saya untuk memajukan organisasi yang saya sertai dulu iaitu PAS.

Selain buku tentang PAS yang bersifat idea masa depan PAS, pemikiran saya dalam suasana masyarakat pelbagai kaum dirakam dalam “Islam dan Kepelbagaian: Rahmat Untuk Semua” Dalam suasana Islamofobia hari ini, saya menulis “Islam Bukan Agama Teroris” dan perjalanan hidup saya diterjemahkan dalam bahasa Inggeris ‘Aren’t We All Malaysian?”

Golongan pelabel yang menularkan saya liberal hanya perlu membaca tulisan saya dalam buku tersebut supaya Allah merahmati tahap berfikir mereka semoga mereka bertaubat. Saya yakin ia bukan isu saya “liberal” tetapi itulah ungkapan sesuai yang boleh menjatuhkan reputasi saya dan ia hanyalah pembunuhan karakter untuk tujuan politik. Apakah pensyarah cemerlang ini sampai ke tahap itu?

Beliau ada memetik kata-kata saya dalam portal yang PH jika ke Putrajaya akan menghapuskan politik berasaskan kaum dan agama. Saya bercadang untuk menjelaskan secara lebih khusus apa dimaksudkan dan sememangnya setiap warganegara di bumi bertuah ini perlu ada impian untuk negaranya aman daripada golongan jumud kaum dan agama.

Ramadan kareem. – 30 Mei, 2017.

* Mujahid Yusof Rawa ialah ahli Parlimen Parit Buntar dan juga naib presiden Amanah.

* Artikel ini diambil daripada blog drmujahidrawa.com.

* Ini ialah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen