Kementerian dalam negeri keluarkan surut tunjuk sebab kepada The Star


KEMENTERIAN dalam negeri mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada akhbar milik MCA, The Star kerana laporan muka depannya bertajuk “Malaysian Terrorist Leader” yang disertakan dengan gambar orang Islam sedang mengerjakan solat Sabtu lepas.

“Kementerian amat dukacita akan tajuk berita itu pada halaman yang turut dimuatkan gambar yang tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan berita berkenaan dan sangat tidak sesuai disiarkan pada halaman yang sama kerana ia mengelirukan, menimbulkan salah faham dan prejudis kepada umat Islam yang mungkin akan dikaitkan dengan keganasan.

“Ia juga secara tidak langsung mempersendakan agama Islam,” kata kenyataan kementerian dalam negeri hari ini.

Kenyataan itu turut menyebut yang surat tunjuk sebab itu diberikan kepada editor The Star yang dipanggil ke kementerian hari ini.

“Akhbar The Star diberikan tempoh 7 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 termasuk digantung permit penerbitan,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Alwi Ibrahim.

Empat editor kanan The Star dipanggil ke kementerian dalam negeri pagi ini untuk memberikan kenyataan berkenaan muka depan akhbar itu Sabtu lepas yang dikritik sesetengah pihak sebagai tidak sensitif kepada orang Islam.

Empat wakil itu- editor eksekutif Rozaid Abdul Rahman, Brian Martin dan N. Dorairaj, serta editor khas M.Shanmugam- dilihat memasuki bangunan kementerian di Putrajaya sebelum tengahari, menurut akhbar harian berbahasa Melayu, Utusan Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Alwi Ibrahim berkata yang akhbar itu cuai dalam menerbitkan gambar orang Islam menunaikan solat tarawih dengan tajuk berita utamanya “Malaysian Terrorist Leader”.

Ketua Editor Leanne Goh sedang berada di Amerika Syarikat.

Politikus daripada pelbagai parti mengkritik muka depan akhbar milik MCA itu menyifatkannya sebagai memberikan gambaran yang semua orang Islam adalah pengganas.

The Star sudah mengeluarkan kenyataan maaf berkenaan muka depannya, mengatakan yang mereka sepatutnya lebih sensitif kepada pembaca Islam mereka.

“Ia menjadi amalan The Star untuk menghormati hari pertama Ramadan setiap tahun dan meletakkan gambar orang Islam bersolat tarawih pada muka depan akhbar.

“Ini dilakukan sejak sedekad yang lalu atau lebih.

“Tahun ini, terdapat kebetulan dengan berita utama mengenai pemimpin pengganas, kemudian ramai yang mengaitkannya dengan tajuk dan gambar, yang mana bukan menjadi niat akhbar ini.

“Kami memohon maaf di atas kesilapan penilaian di pihak kami,” katanya dalam satu kenyataan semalam. –  29 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen