4 pengarang The Star hadir ke KDN


Empat pengarang kanan The Star hadir ke Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya bagi memperjelaskan paparan muka depannya yang mengundang kontroversi di kalangan masyarakat Islam. – Gambar Twitter, 29 Mei, 2017.

EMPAT pengarang kanan The Star menghadirkan diri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) pagi ini untuk memberi keterangan mengenai muka depan Sabtu akhbar itu yang dikritik sesetengah pihak sebagai tidak sensitif kepada umat Islam.

Empat wakil itu – Pengarang Eksekutif Rozaid Abdul Rahman, Brian Martin dan N. Dorairaj, serta Pengarang Pakar M.Shanmugam – dilihat memasuki bangunan kementerian di Putrajaya sebelum tengah hari, menurut akhbar Utusan Malaysia.

Ketua setiausaha kementerian Alwi Ibrahim semalam berkata akhbar itu bertindak sambil lewa hingga tersiarnya gambar orang solat tarawih di bawah tajuk “Malaysian Terrorist Leader”.

“Esok, kita akan memanggil ketua pengarang untuk mendengar penjelasan mengenai muka depan mereka.

“Jika tidak berpuas hati dengan penjelasan mereka, kami akan mengambil tindakan selanjutnya, termasuk mengeluarkan surat tunjuk sebab,” katanya kepada pemberita semalam selepas menghadiri program Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu.

Ahli politik daripada pelbagai pihak mengkritik muka depan akhbar milik MCA itu yang dikatakan memberi gambaran semua umat Islam adalah pengganas.

The Star memohon maaf bagi tindakan itu, berkata ia sepatutnya lebih sensitif terhadap perasaan pembaca yang beragama Islam.

“Ia menjadi amalan The Star untuk menghormati hari pertama Ramadan setiap tahun dan meletakkan gambar orang Islam bersolat tarawih pada muka depan akhbar.

“Ini dilakukan sejak sedekad yang lalu atau lebih.

“Tahun ini, terdapat kebetulan dengan berita utama mengenai pemimpin pengganas, kemudian ramai yang mengaitkannya dengan tajuk dan gambar, yang mana bukan menjadi niat akhbar ini.

“Kami memohon maaf di atas kesilapan penilaian di pihak kami,” katanya dalam satu kenyataan semalam. –  29 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen