Menang di Pujut ialah cabaran besar BN, kata ketua menteri Sarawak


Desmond Davidson

KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg memberikan petanda kurang menyenangkan mengenai peluang Barisan Nasional dalam Pilihan raya Kecil Pujut pada 4 Julai akan datang selepas kerusi itu dikosongkan perwakilan sebelum ini, Dr Ting Tiong Choon (DAP) yang hilang kelayakan kerana pernah menjadi warganegara Australia.

Sabtu lepas, dia memberitahu wartawan di bazar Ramadan Satok, Kucing yang “cabaran besar untuk BN” merampas kawasan majoriti Cina di Miri daripada DAP, tetapi pada masa yang sama turut berkata “kami masih merasakan kami boleh menang”.

Kenyataan yang membawa banyak makna ini dilihat sebagai permainan minda Abang Johari kepada pembangkang, menurut seorang penganalisis politik James Chin.

Katanya lagi BN mempunyai peluang untuk menang tetapi ia bergantung kepada calon yang diletakkan DAP.

Pengarah Asia Institut di University of Tasmania itu memberitahu The Malaysian Insight yang DAP akan berada dalam kedudukan kukuh untuk mempertahankan kerusi itu sekiranya mereka meletakkan Setiausa DAP Sarawak Alan Ling Sie Kiong yang pernah menjadi wakil rakyat Piasau selama sepenggal.

Ling tewas dalam pilihan raya negeri tahun lepas kepada Sebastian Ting (BN-SUPP), bekas setiausaha politik menteri tenaga, teknologi hijau dan air yang juga Adun Miri, Peter Chin Fah Kui.

Piasau dan Senadin yang dimilik BN serta Pujut membentuk kerusi Parlimen Miri yang kini diwakili Dr Michael Teo (PKR).

“Selain daripada rakyat kenal siapa dia, Alan juga menerima banyak sokongan selepas dia gagal mempertahankan kerusi Piasau,” kata Chin.

“Untuk ramai orang, dia ialah wakil rakyat yang buat kerja dan sepatutnya berada dalam dewan undangan negeri.

“Dia akan jadi pesaing kuat sekiranya terpilih.”

Selain daripada Ling, Chin berkata dia tidak nampak sesiapa lagi yang boleh mempertahankan kerusi itu untuk DAP kerana “DAP tidak mempunyai banyak pemimpin berbakat di Miri”.

Untuk BN mempunyai peluang merampas kerusi, Chin berkata yang mereka perlu menggunapakai “faktor Adenan”- janji pilihan raya bekas Ketua Menteri Adenan Satem untuk mendapatkan lebih banyak autonomi kepada Sarawam selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963, menjamin memperolehi semula hak negeri yang hilang sejak 54 tahun lepas dan perkongsian lebih besar untuk kekayaan sumber alam semulajadi yang dilombong di negeri itu- permintaan 20% royalti dalam minyak dan gas.

Buat masa sekarang Sarawak hanya memperolehi 5% royalti.

Ketegasan Adnan mempertahankan hak Sarawak di Putrajaya membolehkan dia memenangi banyak penyokong serta undi, dan kebanyakkan penganalisis bersetuju menjadi faktor utama pengundi Cina memberikan undi kepada BN menyebabkan DAP hilang 5 daripada 12 kerusi mereka di negeri itu sebelum dewan undangan negeri dibubarkan.

DAP hilang kerusi “marjinal” di Dudong, Batu Kawa dan Piasau; kerusi Repok yang “agak selamat” dan kerusi “selamat” Meradong.

Apabila Abang Johari berkata “kami merasakan kami masih boleh menang,” dia pastinya merujuk kepada bagaimana DAP memenangi kerusi Pujut dalam pilihan raya tahun lepas.

Melihat kepada angka, DAP dan Dr Ting yang sudah batal kelayakan bertanding hilang 11.29% undi untuk menang dalam pilihan raya negeri 2011 mengalahkan “calon terus BN” Hii King Chiong- bukti yang peralihan undi berlaku dalam banyak kawasan majoriti Cina dalam pilihan raya.

“Faktor Adenan ialah perkara yang masih perlu didepani DAP,” kata Chin.

“Sejak menggantikan (Adenan), Abang Johari masih tidak melupakan janji Adenan. Malah dia masih meneruskannya lagi.”

Adenan yang memakai perentak jantung, meninggal dalam jawatan Febuari lepas kerana “komplikasi jantung”.

DAP dan BN negeri berkata yang mereka hanya akan bermesyuarat tentang pilihan raya kecil itu selepas Festival Gawai yang jatuh pada 1 Jun.

Bagi BN pula, memilih calon yang tepat mungkin sukar.

Abang Johari yang juga merupakan pengerusi BN negeri mungkin perlu berhati-hati mengintai arena politik negeri untuk memilih calon BN.

Dalam pilihan raya negeri lepas, Adenan memilih Hii daripada Parti Bersatu Rakyat (UPP) yang pro-BN untuk bertanding, mengecewakan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang menganggap kerusi itu tradisinya milik SUPP.

UPP dibentuk bekas ahli SUPP yang tewas dalam pemilihan parti 2011.

Memandangkan UPP bukanlah ahli gabungan BN negeri, Hii terpaksa melepaskan keahlian UPP dan bertanding sebagai “calon terus BN”.

Minggu lepas, Presiden SUPP Dr Sim Kui Hian sekali lagi menegaskan yang kerusi Pujut “milik SUPP” dan calon untuk pilihan raya kecil itu perlulah “calon daripada parti BN”.

Ketika SUPP dan UPP sedang menggunakan kuasa politik mereka untuk sekali lagi menimbulkan kekacauan dalam BN, dan menguji keteguhan pendirian politik ketua BN negeri, Abang Johari mendedahkan Sabtu lepas yang dia sudah “menerima senarai bakal calon daripada SUPP dan UPP”.

Dia menyifatkan senarai itu “agak panjang”.

“Banyak nama.”

Chin, bagaimanapun percaya yang Hii yang kaya masih boleh menjadi pesaing utama untuk bertanding kembali dalam kerusi yang dia kalah sebanyak 1,759 dalam perlawanan empat penjuru itu.

Hii menerima 7,140 undi berbanding Dr Ting yang menerima 8,899 undi sementara Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee menerima 513 undi dan penyandang kerusi Fong Pau Teck daripada DAP yang bertanding atas nama persendirian hanya menerima 375 undi.

Jofri dan Fong walaupun kalah teruk dan kehilangan wan deposit, berkata yang mereka akan turut bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Fong yang dipecat DAP pada November 2013 kerana “menentang parti” dalam pilihan raya umum pada Mei tahun itu dan enggan menyumbang 10% setiap bulan kepada parti daripada gaji bulanannya RM1,500 mungkin disokong Pakatan Kemerdekaan Sarawak, sebuah organisasi bukan kerajaan yang turut memperjuangkan autonomi dan hak Sarawak. –  29 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen