Pakatan putuskan tak letak Norhizam calon dalam PRN Melaka


Norhizam Hassan Baktee memenangi kerusi Pengkalan Batu di bawah tiket DAP pada PRU18 tetapi berpaling tadah dan menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri PH di Melaka pada 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2021.

PAKATAN Harapan memutuskan untuk tidak meletakkan Adun Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Norhizam memenangi kerusi itu di bawah tiket DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-18 (PRU18) tetapi berpaling tadah dan menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri PH di Melaka pada 2020.

Keputusan itu diumumkan oleh Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis itu berkata mereka sudah mendapatkan pandangan daripada semua pihak berkenaan keempat-empat Adun termasuk Norhizam yang menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Barisan Nasional/Perikatan Nasional awal bulan ini. 

“Perlu ditekankan kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada mana-mana individu.

“Oleh kerana mereka bukan ahli mana-mana parti komponen Pakatan Harapan, maka soal pencalonan mereka dalam PRN tidak berbangkit di dalam mesyuarat hari ini.

“Bagaimanapun PH juga memutuskan Norhizam tidak akan menjadi calon PH dalam PRN Melaka,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan Melaka runtuh selepas empat wakil rakyat menarik sokongan kepada kerajaan negeri BN/PN yang diketuai oleh Umno.

Empat bekas Adun berkenaan ialah Norhizam, Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

PRN Melaka akan diadakan pada 20 November.

Pada Selasa Lim Guan Eng berkata DAP tidak akan menerima Norhizam sebagai calon di bawah PH untuk pilihan raya akan datang.

Setiausaha agung DAP berkata, parti itu menentang Norhizam dan akan mengemukakan perkara itu ke majlis presiden PH.

“Ada yang bertanya dan saya dengan tegas menyatakan DAP menolak bekas Adun Pengkalan Batu sebagai calon dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Saya tidak mahu menyebut [alasannya], tidak perlu sampai ke asal usulnya, semua orang tahu, DAP masih tidak menerimanya sebagai calon dalam pilihan raya negeri,” katanya seperti dipetik oleh Astro Awani.

Semalam Norhizam berkata keputusan sama ada beliau dicalonkan atau tidak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bergantung kepada keputusan bersama Pakatan Harapan (PH) kelak.

Sementara itu Majlis Presiden PH juga sudah memutuskan untuk menghantar wakil bertemu dan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai prosedur operasi standard (SOP) untuk pilihan raya.

Majlis itu juga bersetuju melantik Pengerusi PH Melaka Adly Zahari untuk mengetuai jentera pilihan raya.

Pada Isnin, SPR mengumumkan Melaka akan mengadakan PRN pada 20 November.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata PRN akan berlangsung selama 12 hari dengan penamaan calon pada 8 November. – 21 Oktober, 2021


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen