DAP tolak Norhizam calon PH, kata Guan Eng


Norhizam antara empat Adun yang menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri. – Gambar Facebook, 19 Oktober, 2021.

DAP tidak akan menerima penyandang Adun Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee sebagai calon pilihan raya negeri Melaka yang akan datang, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP berkata, parti itu menentang Norhizam dan akan mengemukakan perkara itu ke majlis presiden PH.

“Ada yang bertanya dan saya dengan tegas menyatakan DAP menolak bekas Adun Pengkalan Batu sebagai calon dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Saya tidak mahu menyebut [alasannya], tidak perlu sampai ke asal usulnya, semua orang tahu, DAP masih tidak menerimanya sebagai calon dalam pilihan raya negeri,” katanya seperti dipetik oleh Astro Awani.

Norhizam bertanding sebagai calon DAP pada pilihan raya lalu dan memenangi kerusi untuk parti itu tetapi berpaling tadah untuk membantu membentuk kerajaan negeri Umno-Bersatu susulan langkah Sheraton.

Bagaimanapun, beliau menentang Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dan bergabung dengan tiga Adun lain - Idris Haron (Umno-Sungai Udang), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Azman Hassan (Pantai Kundor) untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

BN kemudian membubarkan dewan negeri dan suruhanjaya pilihan raya semalam menetapkan 20 November sebagai hari pengundian.

Lim berkata, PH komited untuk memastikan mandat rakyat dikembalikan pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, DAP akan terus menyokong Adly Zahari sebagai calon ketua menteri Melaka.

“PH melahirkan sokongan buat Adly sebagai calon ketua menteri dan saya harap tiada sebarang isu mengenainya.

“Ini bukan hanya daripada DAP tetapi komponen parti lain kerana Adly melaksanakan tugas yang bagus,” katanya.

Lim turut berkata, PH akan menggunakan logo gabungan itu bagi pilihan raya nanti. – 19 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen