MoU bukan pas percuma, kata Guan Eng kepada kerajaan


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam Mohd Farhan Darwis

Lim Guan Eng berkata pembangkang akan membatalkan MoU jika kerajaan tidak memenuhi syarat ditetapkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2021.

MEMORANDUM persefahaman dua pihak (MoU) bukanlah pas percuma daripada pembangkang kepada kerajaan, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Jangan fikir hanya kerana kami sudah menandatangani MoU, kami memberikan (anda) pas percuma. Tidak..tidak…tidak. Kami masih akan memainkan peranan untuk menjaga keseimbangan sebagai pembangkang,” kata Lim (Bagan-PH) ketika membahaskan titah ucapan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

“Jika anda salah, kami akan membetulkannya. Sekiranya anda tersasar, kami akan membawa anda kembali ke jalan yang betul. Itulah peranan pembangkang yang akan kita teruskan,” tambahnya.

Katanya, MoU itu akan dibatalkan jika kerajaan gagal mematuhi syarat dipersetujui dalam MoU Transformasi dan Kestabilan Politik, yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan ketua parti Pakatan Harapan pada Isnin.

“Jika tidak dipenuhi, maka ia akan dibatalkan secara automatik. Kami ikhlas dan jujur. Kami ingin perhatian diberikan kepada usaha memerangi Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi,” kata Lim.

“Ini kerana nyawa dan kehidupan lebih penting daripada yang lain.”

Beliau berkata kerajaan menerima beberapa cadangan yang disuarakan oleh PH, termasuk pengecualian pembayaran faedah untuk moratorium pinjaman bank untuk golongan berpendapatan rendah, dan menyuntikkan RM45 bilion lagi kepada dana Covid-19.

Lim berkata semua ini tidak akan berlaku sekiranya bukan kerana MoU.

MoU tersebut merangkumi pembaharuan Parlimen dan institusi, termasuk memberi suara kepada pembangkang dalam perundingan mengenai rang undang-undang kerajaan sebelum dibentang dan diluluskan.

Mengenai perubahan Parlimen, Ismail Sabri mengusulkan agar semua rang undang-undang (RUU), termasuk RUU perbekalan dibentangkan, dibahas, dan dipersetujui bersama di Parlimen.

Kerajaan juga berjanji akan melaksanakan tiga pembaharuan besar pada pertengahan tahun depan, sebelum sesi Parlimen berikutnya atau kelima.

Ia adalah undang-undang anti lompat parti, pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik, dan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh perdana menteri kepada 10 tahun.

Peruntukan yang sama ahli Parlimen kerajaan juga akan diberi kepada ahli Parlimen pembangkang yang menjadi anggota MoU, sementara jawatan ketua pembangkang akan dinaikkan status, kemudahan dan elaun.

Salah satu syaratnya sebagai pertukaran, adalah tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022. – 15 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen