Pengerusi Felda sahkan pemaju pulangkan tanah di Jalan Semarak


Asila Jalil

Pengerusi Felda Shahrir Samad berkata perjanjian baharu di antara Felda Investment Corporation dan Synergy Promenade Sdn Bhd membolehkan agensi itu memperolehi semula tanah di Jalan Semarak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Disember 2017.

PENGERUSI Felda Shahrir Samad mengesahkan bahawa agensi itu berjaya mendapatkan semula hak milik tanahnya di Jalan Semarak melalui satu perjanjian baharu.

Shahrir menjelaskan, perjanjian bersama itu melibatkan unit pelaburannya, Felda Investment Corporation dan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) yang bertanggungjawab memindahkan hak milik tanah terbabit.

“Hari ini pada 15th Januari 2018, pemaju SPSB dengan sukarela bersetuju untuk mengembalikan hak milik ke atas kesemua 16 lot tanah Felda tanpa sebarang kos.

“SPSB juga menyerahkan segala dokumen melibatkan hak milik tanah berkenaan untuk didaftarkan sekali lagi atas nama Felda,” kata Shahrir dalam sidang media di Menara Felda di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam sidang media itu, Shahrir turut menayangkan beberapa slaid kepada wartawan yang menurutnya menunjukkan bukti bahawa Synergy Promenade menandatangani dokumen untuk memindahkan hak milik tanah tersebut.

Walaupun begitu, Shahrir mengatakan laporan polis yang dibuat pada 12 dan 28 Disember lalu di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) tidak akan ditarik balik.

“Audit forensik yang sedang dijalankan juga akan terus berlaku bagi mengenal pasti salah laku yang wujud dalam transaksi ini.

“Walaupun isu pemindahan tanah ini diketahui umum sejak 21 Disember tahun lepas, hakikatnya Felda telah bertindak sejak Januari tahun lepas bagi mendapatkan kembali tanah yang dipindah milik,” katanya seraya menambah yang Felda akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan skandal itu.

Pengerusi Felda Shahrir Samad juga menunjukkan beberapa slaid membuktikan Synergy Promenade Sdn Bhd memindahkan hak milik tanah itu kepada wartawan pada sidang media tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Disember 2017.

Menyentuh mengenai projek KLVC yang sedang dilaksanakan di atas tanah itu, Shahrir mengatakan projek itu akan diteruskan. Felda bersama-sama SPSB akan melakukan rundingan semula mengenai terma pembangunan dalam perjanjian yang dimeterai pada 2014 itu.

“Projek itu dalam bahaya tidak diteruskan, bukan kerana salah kami tetapi kerana pemindahan tanah itu.

“Kami tak berniat untuk menghentikan projek itu. Isunya adalah mengapa hak milik tanah itu perlu dipindahkan,” tambahnya.

Beliau juga mengatakan menurut perjanjian itu, Felda akan menerima pulangan kembali minimum yang dijamin sebanyak RM500 juta atau 10% nilai kasar pembangunan itu, yang mana satu lebih tinggi.

Pada 5 Januari, bekas Pengerusi Felda Isa Samad memberikan keterangan kepada polis yang sedang menyiasat skandal pemindahan hak milik tanah itu.

Audit forensik ke atas projek KLVC pula bermula sejak 8 Januari lalu dan dijangka merumuskan hasil siasatan mereka dalam tempoh 30 hari.

Shahrir mengatakan semua dokumen diperlukan sudah diserahkan kepada syarikat audit luar yang dilantik Jabatan Perdana Menteri. – 15 Januari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen