Polis sambung ambil keterangan Isa Samad petang ini


Pengarah JSJK Bukit Aman Amar Singh Ishar Singh berkata Isa tiba bersama beberapa pegawainya di pejabat JSJK di Menara 238, Jalan Tun Razak pada 10.30 pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Januari, 2017.

POLIS menyambung mengambil keterangan Isa Samad petang ini berhubung urus niaga melibatkan pindahmilik hak ke atas tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, lapor Bernama.

Pengarah Jabatan Jenayah Komersial, Amar Singh mengesahkan bekas pengerusi Felda itu hadir memberikan keterangannya kepada polis pukul 10.30 pagi tadi, bersama beberapa orang pegawai khasnya.

“Kita masih dalam proses merakam percakapan beliau…proses ini akan disambung selepas solat Jumaat nanti,” kata Amar seperti dipetik Bernama.

Isa sepatutnya diambil keterangannya semalam tetapi dilaporkan memohon sesi itu ditangguhkan sehingga hari ini.

Menurut Amar, polis sudah memanggil lapan individu termasuk pegawai Felda serta pihak pemaju bagi merakam percakapan mereka. Seorang lagi individu akan dipanggil untuk membantu siasatan pada Isnin ini, katanya.

Siasatan polis ini bertumpu pada isu pemindahan hak milik tanah Felda dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Akhbar Berita Harian pada 21 Disember lepas mendedahkan risiko Felda kehilangan tanahnya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang bernilai lebih RM200 juta selepas dipindahmilik oleh sebuah syarikat melalui urus niaga yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh oleh Felda bagi membangunkannya.

Isa adalah Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017. Beliau juga mempengerusikan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) antara Januari 2011 hingga 19 Jun 2016 serta Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017. – 5 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen