Bersatu nafi terima komisen RM500 juta dari penyelesaian 1MDB


Ketua Penerangan BersatuWan Saiful Wan Jan menafikan parti itu menerima komisen RM500 juta daripada penyelesaian antara kerajaan dan Goldman Sachs dalam kes 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2021.

WAN Saiful Wan Jan menafikan Bersatu menerima komisen RM500 juta daripada penyelesaian antara kerajaan dan Goldman Sachs dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua penerangan Bersatu itu berkata tuduhan pembangkang itu tidak berasas dan bertujuan untuk mencemar imej Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga presiden parti.

“Saya adalah ahli Biro Politik Bersatu dan juga ahli dalam Jawatankuasa Pengurusan Bersatu. Saya tahu semua ini tidak berlaku. 

“Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah ini. Tidak ada ejen yang dilantik. Tidak ada komisen diterima. Ini bukan budaya kami dalam Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas dakwaan Adun Kuang Sallehudin Amiruddin bahawa sebuah parti menerima komisen RM500 juta untuk Pilihan Raya Umum ke-15.

Sallehudin membuat laporan polis pada 12 Mac, berkenaan mesej yang tersebar di media sosial minggu lalu yang mendakwa komisen RM500 juta dibayar kepada sebuah parti politik melalui seorang peguam berprofil tinggi untuk membantu kerajaan mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs.

Adun dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dilaporkan media berkata laporan juga akan dibuat kepada kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Tambah Wan Saiful, kenyataan Salehhudin dan seorang ahli Parlimen DAP mencetus persoalan adakah wujud rancangan untuk memfitnah Bersatu.

“Saya pun tertanya-tanya, adakah wujud strategi gelap secara bersama antara kumpulan penaja Pejuang dengan DAP.

“Parti ini ditubuhkan untuk memperjuangkan integriti dan tadbir urus yang telus.

“Komitmen kami ialah memastikan kes 1MDB diselesaikan segera, semua yang bersalah menerima keadilan dan dana negara yang dirompak dikembalikan untuk manfaat rakyat,” katanya.

Goldman Sachs pada Julai tahun lalu bersetuju untuk membayar AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) bagi penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berkaitan dengan tiga urus niaga bon membabitkan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB). 

Penyelesaian merangkumi pembayaran tunai AS$2.5 bilion (RM10.63 bilion) dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion (RM5.95 bilion) dari segi aset yang berkait dengan hasil yang telah diseleweng melalui tiga urus niaga bon berkenaan.

Goldman Sachs sebelum ini menawarkan AS$1.75 bilion (RM7.44 bilion) kepada kerajaan pada 2019. 

“Penyelesaian ini mewakili aset yang menjadi hak Malaysia. Kami yakin persetujuan ini telah berjaya mencapai jumlah pengembalian aset yang jauh lebih banyak daripada Goldman Sachs berbanding nilai yang ditawarkan terdahulu yang jauh di bawah jangkaan.

“Kerajaan bersyukur dapat menyelesaikan hal ini di luar sistem pengadilan, yang akan menelan banyak waktu dan sumber kewangan.

“Dengan penyelesaian ini, kita dapat mempercepatkan pengembalian aset, tanpa melalui proses pengadilan yang tentunya mahal dan rumit,” katanya dalam satu kenyataan pada Julai tahun lalu.

Beliau juga berkata kerajaan akan menerima pembayaran tunai berjumlah AS$2.5 bilion (RM10.6 bilion) daripada AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) yang dipersetujui, dan baki AS$1.4 bilion (RM5.9 bilion) akan dibayar selepas aset yang berkait dengan hasil diseleweng melalui urus niaga 1MDB dikembalikan semula kepada kerajaan.

Penyelesaian itu mendapat kritikan pembangkang, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Dr Mahathir berkata jumlah yang dipersetujui itu  jumlah itu tidak sepadan dengan kerugian negara berkaitan jualan bon 1MDB yang mencecah AS$6.5 bilion.  

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini menuntut ganti rugi AS$9.6 bilion.

Lim pula berkata kerajaan perlu menjelaskan sekiranya Goldman Sachs telah dibiarkan melepaskan diri daripada tuntutan dengan “mudah” atau rakyat Malaysia telah diperdayakan. – 20 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen