Keputusan PAS hadiah terbaik ulang tahun Umno


Zulkifli Sulong

Keputusan Majlis Syura seperti menghadiahkan kek untuk sambutan hari jadi Umno, kata Mahfuz, – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2017.

TINDAKAN Majlis Syura PAS mengesahkan keputusan muktamarnya untuk memutuskan hubungan dengan PKR diumpamakan sebagai hadiah hari jadi untuk Umno yang berusia 71 tahun, yang kebetulan disambut hari ini.

“Ia umpama kek hari jadi untuk Umno dari Majlis Syura,” kata Ahli Parlimen PAS Pokok Sena Mahfuz Omar kepada The Malaysian Insight.

Menurut Mahfuz, kalau selama ini media dan agen Umno yang selalu menghasut PAS agar memutuskan hubungan dengan PKR, kini PAS menyahut seruan itu, seperti menghadiahkan kek hari jadi. 

Namun, tindakan Majlis Syura menyerahkan keputusan untuk menentukan kedudukan parti itu dalam kerajaan negeri Selangor kepada Jawatankuasa PAS Pusat sangat mengejutkan beliau.

Ini kerana sebelum PAS meluluskan usul memutuskan hubungannya dengan PKR, ia patut dikaji secara halus terlebih dahulu sebelum dibentang dan diluluskan oleh muktamar, katanya lagi.

“Sepatutnya bincang dahulu kesannya kepada rakyat, kerajaan negeri dan Islam itu sendiri. Tetapi bila dah buat keputusan baru nak fikir kesannya, orang akan kata kita tak fikir panjang.

“Kalau silap perhitungan, betulah apa yang orang cakap bahawa ini tahaluf fulus (wang),” kata bekas naib presiden dan ketua penerangan PAS itu.

Selain tiga exco dan 13 Adun di Selangor, kira-kira 5,000 ahli PAS memegang jawatan dan menerima elaun atau gaji bulanan kerajaan negeri.

Hampir semua masjid dan surau di Selangor juga diterajui pemimpin dan penyokong PAS. Institusi ini membolehkan PAS menyebarkan ajarannya melalui ceramah yang di adakan di situ.

Lewat petang tadi, Setiausaha Majlis Syura Nik Muhammad Zawawi Salleh mengumumkan keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PKR.

Delegasi PAS dari seluruh negara sebelum ini mendesak supaya hubungan itu diputuskan dalam muktamar parti itu di Kedah baru-baru ini. – 11 Mei, 2017


Sign up or sign in here to comment.


Comments