Dua orang lelaki warga Turki yang ditahan semalam sudah berada dalam pemerhatian polis kerana disyaki mempunyai kaitan dengan Negara Islam (IS), kata menteri dalam negeri yang juga timbalan perdana menteri hari ini.
The Star melaporkan yang Ahmad Zahid Hamidi berkata yang unit anti-keganasan polis sudah memantau perhubungan yang dilakukan mereka berdua, dan alasan penahanan mereka dilakukan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma).
Dua lelaki itu- Turgay Karaman dan Ihsan Aslan- dipercayai diculik sebelum ini tetapi kata Zahid unit anti keganasan sudah memantau dan mengikuti pergerakan beberapa individu yang terlibat dalam penyebaran pengaruh dan pembiayaan aktiviti berkaitan dengan IS.
“Ini termasuklah dua orang rakyat Turki itu,” katanya di Putrajaya.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar semalam berkata menerusi Twitter yang dua lelaki itu tidak diculik sebaliknya ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti yang mengancam keselamatan negara.
Perkara ini mengejutkan isteri Turgay, Ayse Gul Karaman. Pasangan itu mempunyai enam orang anak.
“Tak. Tak. Tak. Saya tak boleh terima yang dia orang berbahaya kerana dia tak sanggup bunuh serangga pun. Kenapa ini boleh terjadi?” kata Ayse diluar bangunan Komision Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian semalam.
“Sepanjang kami berkahwin selama 14 tahun, dia tak pernah sakitkan saya. Malah dia tidak pernah tinggikan suara pun pada saya,” katanya.
Surirumah berusia 37 tahun itu mendakwa yang sesiapa yang merasakan suaminya seorang penjenayah pastinya “gila”. – 4 Mei, 2017.
Comments