BN mampu tawan Kelantan jika lawan 3 penjuru


Yasmin Ramlan

Beliau dan beberapa pemimpin Umno Kelantan optimis untuk menawan semula Kelantan berdasarkan faktor keadaan dalaman politik PAS yang kini berpecah belah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2017.

SUDAH 27 tahun sejak Barisan Nasional (BN) kehilangan Kelantan tetapi gabungan persekutuan pemerintah percaya pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang, ia mampu memenangi negeri majoriti Melayu itu seperti yang berlaku hampir 40 tahun lalu.

Rakan kongsi dominan BN, Umno yakin untuk menawan semula mengambil negeri yang hilang pada 1990 selepas berita PAS mahu memutuskan hubungan dengan sekutu mereka PKR dan kemunculan parti serpihan PAS, Amanah.

“BN sememangnya dapat menawan Kelantan pada PRU ini. Secara rasional, tiga penjuru menampakkan kelemahan PAS terutamanya apabila terdapat perpecahan sehingga menyebabkan wujudnya Amanah.

“Jika dilihat, kefahaman rakyat Kelantan tidak seperti dahulu lagi. Ketiadaan Nik Aziz (Nik Mat) sudah melemahkan PAS itu sendiri yang menjadikan keadaan di Kelantan berbeza,” kata Adun Paloh-BN Nozula Mat Diah kepada The Malaysian Insight di Kota Bharu.

Nozula juga menyatakan ramai di Kelantan tidak lagi yakin dengan PAS, yang dijanjikan pembangunan di negeri itu tetapi gagal melaksanakannya.

“Contohnya, mangsa isu banjir masih belum selesai, pentadbiran dan pengurusan serta pembangunan negeri tidak terurus,” katanya.

Tambahnya, PAS juga gagal mengurus hal kebajikan rakyat sehingga mengharapkan bantuan kewangan kerajaan pusat sebanyak RM740 juta sejak 2005 sehingga kini bagi bantuan kewangan pentadbiran.

“Ini menunjukkan seolah-olah kerajaan negeri tidak mampu mewujudkan hasil baru. Sudah tiba masanya mereka berundur diri,” katanya.

Beliau dan beberapa pemimpin Umno Kelantan optimis kerana ketiadaan Nik Aziz Nik Mat pada 2015 yang menjadikan negeri pimpinan PAS itu berpecah belah. Ini ditambah dengan masalah politik dalaman sehingga menyebabkan ia kehilangan ramai ahli dan pemimpin sehingga membawa kepada penubuhan Amanah.

Perbalahan dengan Amanah dan tiada tanda kompromi dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, pertandingan tiga penjuru di Kelantan tidak dapat dielakkan.

BN mengintai 30 kerusi negeri dan semua kerusi Parlimen, kecuali Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian. Selain itu, BN yakin boleh menawan Bachok, Pasir Putih dan Kuala Krai. Mereka kini memegang Jeli, Tanah Merah, Machang, Ketereh dan Gua Musang.

Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang Abdullah Mat Yasin bersetuju dengan Nozula mengenai peluang BN untuk mengambil semula Kelantan dengan memenangi 30 kerusi DUN.

Beliau berkata Umno sudah menjangkakan kematian Nik Aziz akan menyebabkan PAS berpecah kerana lebih ramai ahlinya menghormati tokoh itu berbanding presidennya kini.

“Kerana perpecahan ini (dengan Amanah), ramai rakyat Kelantan berasa mereka tidak mempunyai parti lain untuk bergantung kecuali kepada BN,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Adun Pengkalan Pasir Hanafi Mamat berkata ia juga ditambah dengan hakikat melihat keupayaan BN menjadi pihak yang lebih mampu menjaga kebajikan mereka.

“Rakyat secara keseluruhan sudah jemu dan letih dengan karenah PAS yang sudah memerintah lebih 20 tahun tetapi tiada kesungguhan membangunkan negeri, ekonomi, peluang kerajaan, pembalakan, alam sekitar dan kesusahan rakyat,” katanya.

Beliau juga percaya pertandingan tiga penjuru akan membantu BN menang besar di Kelantan.

Pada pilihan raya negeri 1978, BN dengan bantuan Berjasa berjaya menghentikan PAS daripada terus meluaskan pememerintahannya di Kelantan untuk penggal kelima dengan mewujudkan pertandingan tiga penjuru di situ.

Sebagai sebahagian daripada strategi itu, Umno menentang satu lawan satu dengan PAS di 12 kerusi “selamat” dan memenangi 11 kerusi manakala Berjasa menawan kubu kuat PAS dan berjaya memenangi 11 daripada 12 kerusi yang ditandingi.

Bagi 12 kerusi “tidak pasti” selebihnya, Umno dan Berjasa berjaya mewujudkan pertandingan tiga penjuru dengan PAS untuk memenangi semua kerusi.

Keputusan akhir menyaksikan BN menang 23 kerusi, Berjasa 11 dan PAS 2. BN dan Berjasa bergabung untuk membentuk kerajaan negeri sebanyak 34 kerusi dalam DUN yang mempunyai 36 kerusi.

Berhubung faktor Nik Aziz, Hanafi tidak fikir pemimpin yang sudah meninggal dunia itu memainkan peranan besar kepada pengundi untuk kembali kepada Umno berbanding masalah dalaman PAS sendiri yang menyebabkan ramai pemimpinnya keluar.

“BN sentiasa bersikap optimis, sama ada dengan ada ataupun ketiadaan  Nik Aziz, BN mampu tawan Kelantan. Kami lihat kerajaan Kelantan kini sudah longlai.

“Rakyat Kelantan sendiri sudah tidak mengharapkan kerajaan negeri membantu nasib mereka,” katanya.

Penduduk Kelantan masih tidak yakin Umno

Bagaimanapun, keyakinan Umno Kelantan untuk menawan semula Kelantan tidak dikongsi dua penduduk tempatan. Walaupun mengakui Kelantan jauh di belakang negeri BN dari segi pembangunan, tetapi mereka masih sanggup memilih PAS berbanding Umno.

“Dalam Islam, kita mesti mengikuti pemimpin. Dan saya akan menyokong parti yang lebih agama dan boleh membawa kita lebih dekat kepada Islam,” kata Mohamad Alawi Md Nor.

Anak jati Bachok itu berkata kemunculan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) dan Amanah tidak penting kerana Kelantan hanya mengiktiraf dua pihak – Umno dan PAS.

“Kami mahu kerajaan persekutuan membantu kami. Tetapi kami akan menerima PAS sebagai kerajaan negeri tidak kira bagaimana mereka memberi tekanan kepada kami,” kata Alawi.

Bagi Nik Shafiq Al Amir, 23, PAS masih parti yang perlu ditewaskan di Kota Bharu.

“BN mahu mengambil alih Kelantan? Adakah kita akan lebih maju nanti?” Tanya Nik Shafiq ketika ditemui di Kota Bharu baru-baru ini.

“Saya tidak pasti tentang pembangunan tetapi sokongan kami untuk PAS (sejak zaman Nik Aziz) masih sangat kuat walaupun kerajaan persekutuan membangkitkan isu seperti penebangan hutan dan bagaimana mangsa banjir tidak mendapat bantuan mencukupi daripada kerajaan negeri.”

Beliau berkata walaupun ada cakap-cakap tentang bagaimana Amanah memecahkan PAS, ia adalah perkara kecil.

“Jika ada sebarang kesan, ia hanya sedikit. Saya tinggal di sini sepanjang hidup saya dan tidak rasa Umno boleh mengambil semula Kelantan lagi buat masa ini.” – 3 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments