Rafizi mahu Adam bercuti daripada PKR


Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menggesa Adam Rosly ‘bercuti’ daripada tugasnya bagi mengelakkan ia mengheret sama parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2017.

KETUA Pemuda Ampang PKR Adam Rosly perlu “bercuti” daripada tugas dalam partinya atau berdepan lembaga disiplin, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, kes Adam digunakan untuk memburukkan imej PKR dan parti itu perlu menjauhkan diri daripadanya.

Adam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana memberi kenyataan palsu dan memalsukan dokumen yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan mereka mengenai kekayaan peribadinya minggu lepas.

Adam kini dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM300,000.

“Saya dan pemimpin parti lain akan mencadangkan supaya tindakan diambil supaya kita boleh menghentikan isu peribadi daripada mengheret PKR. Kepimpinan parti boleh membenarkan beliau ” bercuti “daripada tugasnya sehingga kes itu selesai atau melalui lembaga disiplin seperti dinyatakan Timbalan Presiden Azmin Ali,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Adam masih boleh memperbaiki situasi dan menggesa beliau mengisytiharkan hartanya secepat mungkin.

“Saya berpendapat, Adam Rosly masih boleh menjelaskan keadaan dan tidak mengheret sama PKR bersama agenda peribadinya dengan mengisytiharkan asetnya secepat mungkin.

“Keadaan ini amat berbeza, kerana keengganan beliau mengisytiharkan hartanya mencemarkan imej baik PKR sehingga kita diserang semua musuh politik,” kata Rafizi.

Kekayaan Adam mendapat perhatian selepas pemimpin Baju Merah Jamal Yunos mempersoalkan bagaimana beliau mampu memiliki sebuah banglo ala-istana di Ampang pada usia muda.

Adam mendakwa beliau mengumpulkan kekayaan melalui usaha perniagaan dan warisan daripada keluarganya.

Beliau akan didakwa di bawah Seksyen 32 (8) (c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Akta Aktiviti Haram. – 24 April, 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen