Benarkah ‘puisi Jumaat’ Asri untuk Modi?


SAYA menganalisis “puisi Jumaat” Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin pada 21 April di projekdialog.com. Analisis saya menggunakan kerangka Pelan Tindakan Rabat 2013 (Rabat Plan of Action 2013) yang ditawarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menilai bagaimana sesuatu ucapan atau tulisan itu boleh dikategorikan sebagai “kebencian dan hasutan” dan bukan sesuatu yang boleh dikategorikan sebagai “kebebasan bersuara”.

Daripada enam kriteria penilaian, yang pertama adalah konteks. Hanya dengan analisis konteks, sesuatu ucapan itu dapat ditentukan latar sosial dan politiknya dan apakah ia ditujukan kepada satu kumpulan sasaran.

Apakah konteks? Konteks dapat ditafsir, dianalisis dan difahami apabila kita mencungkil fungsi, tujuan, kegunaan, masa, pencipta dan sasaran.

Fungsi, tujuan, dan kegunaan puisi ini adalah untuk mempertahankan kehadiran Dr Zakir Naik yang kontroversial di Malaysia. Kita terima. Ini adalah hak beliau, Asri.

Pencipta ucapan atau dalam hal ini tulisan, adalah mufti Perlis tersebut.

Sasaran puisi ini menurut beliau adalah pentadbiran Kerajaan India pimpinan Narendra Modi.

Kita akan dapat memastikan kebenaran sasaran ini (seperti yang beliau ajukan), apabila satu lagi aspek konteks disertakan, iaitu masa atau waktu ia dilakukan.

Pelan Tindakan Rabat 2013 menyebutkan “analysis of the context should place the speech act within the social and political context prevalent at the time the speech was made and disseminated” bermaksud secara umumnya ucapan itu harus dilihat konteks sosial dan politiknya bertepatan dengan waktu ia dilakukan dan disebarkan.

Jika benar ia ditujukan kepada Perdana Menteri Modi; ia, “puisi” ini patut ditulis pada 1 April 2017 iaitu ketika Perdana Menteri Najib Razak berada di India, mewakili Malaysia menandatangani tujuh perjanjian dengan kerajaan India pimpinan Narendra Modi.

Beliau boleh, wajar dan akan nampak jaguh jikalau melakukan kritikan tersebut ketika pimpinan negara kita berada di India, yang menurut Asri dalam “puisi” beliau “kerajaan zalim menyembah api dan penganut sati.”

Atau ketika perdana menteri India itu berada di Malaysia pada 23 November 2015 merasmikan Gerbang , yakni ketika Modi berada di Kuala Lumpur untuk Persidangan Asean ke 27.

Untuk keadilan mufti Perlis juga menyatakan puisi ini sebagai satu keluhan atau mesej beliau kepada Modi yang kelihatan membiarkan kes-kes orang Islam di India yang dibunuh para ekstrimis kerana menyembelih ternakan lembu: “Anda boleh lihat artikel dan video dalam internet yang begitu banyak tentang kekejaman mereka kerana “mempertuhankan lembu” dalam ertikata mensucikannya. Bagi yang tidak mempertuhankan lembu di negara ini seperti yang sedang berlaku di India, harap jangan terasa. Puisi itu untuk suasana semasa di India.”

Harus disebutkan Asri bukan orang pertama menyuarakan hal ini. Sebagai misalan Dr Shad Saleem Faruqi, pakar perlembagaan dan pensyarah undang-undang dihormati ramai, yang kini mengajar di Universiti Malaya pernah menyatakan hal yang sama, bagaimana kesucian lembu boleh mendorong pertumpahan darah dan hubungannya dengan parti BJP di India dalam satu forum“Human Rights and Religion: Are the two compatible?” pada 24Mei 2015 di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

Terdapat laporan media mengenai pandangan beliau, akan tetapi Profesor Shad tidak dikecam masyarakat Hindu dan orang ramai dalam menyuarakan ketidakpuasan hati beliau. Kenapa?

Kerana ucapan Shad kena pada konteksnya.

Asri mempunyai dua kesempatan yang dinyatakan di atas untuk mengkritik Modi di “masa”, atau menurut Pelan Tindakan Rabat 2013 sebagai “konteks” yang tepat dan munasabah.

Jika ia dilakukan dalam tempoh waktu itu, Pelan Tindakan Rabat 2013 anjuran PBB menafsirkan ia sebagai “kebebasan bersuara”, yakni satu kritikan daripada seorang individu. Ia wajar dihormati dan bukan dikecam.

Oleh kerana masa atau waktu “puisi” ini dikarang dan diterbitkan kesasar, iaitu di luar “masa berkenaan”; maka jika dinilai dan dianalisis perihal konteks yang menjadi aspek pertama Pelan Tindakan Rabat 2013 adalah jelas kita boleh mencadangkan “puisi Jumaat” tulisan Asri ini sebagai “kebencian secara kolektif” dan bukan merupakan satu kebebasan bersuara yang dibenarkan. – 24 April, 2017.

* Mohd Faizal Musa adalah penulis dan felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Jika ia adalah untuk Modi, Asri perlu menulis puisi dalam Bahasa Inggeris.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh KK Aw · Ulasan