Ekstremis tidak dialu-alukan di Malaysia, kata TPM


Muzliza Mustafa

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi diraikan ketika tiba di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini untuk sambutan Ugadi 2017. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 April, 2017.

MALAYSIA tidak memerlukan ekstremis agama di sini, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamid ketika menghadiri majlis meraikan Tahun Baru Telugu hari ini.

Merujuk kepada warganegara India yang dikehendaki, Dr Zakir Naik yang juga diberikan status penduduk tetap di negara ini lima tahun lalu, Zahid berkata ekstremis tidak dialu-alukan di Malaysia kerana ia mengancam keamanan dan keharmonian pelbagai kaum di sini.

“Rakyat Malaysia perlu bersatu. Kami tidak mahu ekstremis Islam atau Hindu atau Buddha atau ekstremis lain di sini kerana kami mahu keamanan di Malaysia,” katanya pada perkumpulan Ugadi di Dataran Merdeka awal hari ini.

Beliau berkata pemimpin terdahulu bekerja keras mewujudkan persekitaran aman untuk masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia dan ia memerlukan usaha lebih keras bagi memeliharanya.

Baru-baru ini rakyat Malaysia terutama masyarakat Hindu mempersoalkan status penduduk tepat yang diberikan kepada penceramah kontroversi, Zakir yang dikehendaki kerajaan India kerana disyaki menyebabkan propaganda keganasan.

Kelulusan status penduduk tetap Zakir menyebabkan beberapa rakyat Malaysia termasuk Pemuda MIC, yang membuat beberapa laporan polis terhadapnya, dan Hindraf juga mendesak kerajaan mengharamkan pendakwah itu memasuki negara ini.

Presiden MIC Dr S Subramaniam minggu lalu berkata Zakir tidak diperlukan di negara ini kerana sumbangannya dalam memajukan Islam tidak memberi manfaat kepada Malaysia.

“Kami boleh melakukannya tanpa Zakir Naik, kerana beliau melakukannya di luar konteks Malaysia. Di sini, jika anda Buddha, yang anda lakukan dalam konteks Malaysia ... jika anda Hindu, anda lakukan dalam konteks Malaysia,” kata Dr Subramaniam pada ucapan terakhir dialog Transformasi Negara (TN50) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Beliau bercakap mengenai kebimbangan pemuda India, yang meluahkan kemarahan terhadap kehadiran Zakir di Malaysia.

Perdebatan berhubung status penduduk tetap Zakir tidak terhad dalam kalangan penganut Hindu di Malaysia saja apabila Mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin turut mengundang kritikan apabila menulis puisi mempersoalkan kerajaan Narendra Modi terhadap layanan kepada umat Islam di India.

Dalam puisinya yang disiarkan di Facebook, Asri atau popular dikenali sebagai Dr Maza, merujuk kepada mempertuhankan lembu dan sistem kasta.

Puisi itu dipadam daripada Facebook hari ini. – 23 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen