Masalah 1MDB terus belenggu negara


ALI mengambil keputusan menyelesaikan pertelingkahannya dengan Baba di mana Ali bertegas membayar AS$3.5 bilion kepada Baba, tetapi Baba bertegas Ali tersilap membayar kepada orang lain.

Ali dan Baba mencapai keputusan menunda pertikaian ini ke tahun depan, di mana perundingan akan berlangsung dan wajib diselesaikan pada 2020.

Di dalam tempoh bertenang ini, Ali berjanji melangsaikan hutangnya yang satu lagi bernilai AS$1.2 bilion sebelum tahun ini berakhir dan berhenti mencemuh sesama sendiri.

Ali mengumumkan pertelingkahannya dengan Baba selesai.

Kisah pendek ini ibarat hubungan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan firma pelaburan syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) seperti dilaporkan akhbar The Straits Times semalam.

Hakikatnya, pertelingkahan antara 1MDB-IPIC masih jauh daripada penyelesaian.

Pertarungan 1MDB dan IPIC akan berlanjutan sehingga 2020, di mana kemungkinan 1MDB perlu membayar hutang AS$3.5 bilion kepada IPIC selain AS$1.2 bilion dijanjikan untuk dilangsaikan tahun ini. Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang mungkin ditanggung 1MDB mencecah AS$4.7 bilion (RM20.68 bilion).

Hutang AS$1.2 bilion yang perlu dibayar 1MDB kepada 1PIC juga bercanggah dengan kenyataan Presiden 1MDB Arul Kanda pada 31 Mei 2015.

Ketika itu, Arul bertegas dana AS$1 bilion daripada IPIC kepada 1MDB untuk membayar penuh pinjaman berjumlah AS$975 juta (RM3.6 bilion) kepada satu sindiket bank antarabangsa bukanlah sejenis pinjaman atau hutang.

“Lanjutan kenyataan Kementerian Kewangan pada 29 Mei, kami mengambil perhatian terhadap dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bayaran AS$1 bilion itu merupakan pinjaman, atau melibatkan andaian hutang 1MDB lagi.  

“Ini sama sekali tidak berlaku. Ia adalah transaksi perniagaan; bukan pinjaman, bukan juga apa-apa jenis hutang dan bukan jaminan keluar.  

“Ia adalah bayaran awal sebagai sebahagian daripada perjanjian lebih luas untuk mengendalikan pelbagai aset kewangan dan transaksi liabiliti antara IPIC, Aabar dan 1MDB secara menyeluruh, maklumat lanjut mengenainya akan diumumkan kelak,” kata Arul yang dipetik media.

Sekiranya ia bukan hutang, mengapa 1MDB perlu membayar kembali “pelaburan” tersebut berserta faedah? Apakah ini tergolong dalam berita palsu menurut kriteria Perdana Menteri Najib Razak?

Apakah 1MDB mempunyai dana mencukupi membayar hutang IPIC? Jika tidak, di mana kerajaan BN hendak mencari dana membayar hutang kepada IPIC terutamanya jika mereka memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14?

Persoalan menariknya ialah apakah yang terjadi kepada penyelesaian 1MDB-IPIC pada 2020 nanti sekiranya perdana menteri Malaysia bertukar orangnya memandangkan PRU14 perlu dipanggil selewat-lewatnya tahun depan?

Sekiranya 1MDB tewas di dalam rundingannya dengan IPIC, apakah perdana menteri yang baru akan membayar begitu sahaja tanpa mendedahkan apa yang terjadi kepada AS$3.5 bilion yang terbayar kepada Aabar Investments PJS, yang dinafikan IPIC sebagai anak syarikatnya?

Apapun, isu 1MDB akan terus membelenggu ekonomi negara untuk beberapa tahun akan datang. Takziah buat negara. – harakahdaily.net, 22 April, 2017.

Tuan Ibrahim Tuan Man


 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen