Hamas tolak desakan AS untuk iktiraf Israel


Hamas dalam satu kenyataan rasmi hari ini menolak syarat-syarat yang dikenakan Kuartet Antarabangsa yang terdiri daripada AS, PBB, Kesatuan Eropah dan Rusia. – Gambar EPA, 20 Oktober, 2017.

PERGERAKAN Islam Hamas menolak desakan Duta Khas Amerika Syarikat (AS) ke Timur Tengah Jason Greenblatt untuk menerima syarat-syarat Kuartet Antarabangsa bagi Keamanan di rantau itu, lapor agensi berita China Xinhua.

“Pergerakan Hamas menzahirkan penolakannya terhadap ugutan serta tuntutan berat sebelah Amerika yang memenuhi kepentingan Israel, yang telah diperjelas sebelum ini oleh Greenblatt,” kata Hamas dalam satu kenyataan rasmi.

Media Israel sebelum ini melaporkan Greenblatt telah menyatakan bahawa bagi membolehkan AS mengiktiraf sebarang kerajaan perpaduan Palestin, pergerakan Hamas hendaklah mengiktiraf Israel serta melucutkan senjata.

“Ia merupakan satu gangguan terang-terangan ke dalam hal ehwal Palestin dan bertujuan menghentikan proses perdamaian,” sambil menambah “Hamas mengulangi bahawa ia akan melaksanakan semua langkah ke arah perdamaian,” menurut kenyataan Hamas.

Kuartet Antarabangsa, yang terdiri daripada AS, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah dan Rusia, telah meminta Hamas pada 2006 untuk mengiktiraf Israel, mengutuk keganasan dan mengiktiraf perjanjian damai yang dimeterai dengan Israel.

Hamas, yang memenangi pilihan raya parlimen Palestin pada 2006, menolak syarat-syarat yang dikenakan Kuartet. 

Israel telah mengenakan sekatan ketat ke atas Semenanjung Gaza dan kuartet telah mengenakan embargo terhadap pergerakan Hamas.

“Pergerakan Hamas tidak akan mengendahkan percubaan untuk mensabotaj laluan ini (perdamaian dalaman Palestin dan penamatan perpecahan) atau yang menghalangnya,” kata kenyataan Hamas.

Minggu lepas, pemimpin Hamas dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas daripada Parti Fatah memeterai perjanjian damai di Kaherah yang ditaja oleh Mesir, yang menyaksikan Hamas bersetuju untuk menyerahkan pemerintahan Semenanjung Gaza kepada kerajaan bersama pimpinan Abbas.

Bassim Na’eem, seorang pemimpin kanan Hamas di Gaza, sebelum ini berkata kenyataan Greenblatt adalah “satu gangguan secara terang-terangan dalam hal ehwal Palestin.” – Bernama, 20 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen