Saya memang diculik, kata Peter Chong


Bekas ahli majlis Petaling Jaya Peter Chong kali pertama menyiarkan kenyataan di Facebook hari ini berhubung “kehilangannya” pada awal bulan ini yang mencetuskan kekecohan dalam negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2017.

WALAUPUN polis terus skeptikal terhadap kenyataannya, bekas ahli majlis Petaling Jaya Peter Chong tetap bertegas berkata dia diculik di Thailand, dan akan membuat laporan polis secepat mungkin untuk menyokong kesnya.

Chong, 54, berkata jika perlu, dia akan kembali ke Hat Yai di mana dia diculik untuk membuat laporan polis di sana.

Kenyataan pertamanya itu sejak pulang dari Thailand pada Ahad, dimuat naik di laman Facebook miliknya petang ini.

Kehilangan Chong pada 5 April mencetuskan kekecohan kerana dikaitkan dengan kehilangan empat aktivis lain dan penculikan Pastor Raymond Koh pada bulan lalu.

“Namun, saya hendak menjelaskan yang saya cuba untuk membuat laporan polis di balai polis Pattaya.

“Tetapi polis di sana beritahu saya untuk membuat laporan di balai polis Hat Yai yang di luar bidang kuasanya kerana saya ditahan di Hat Yai,” kata Chong yang juga bekas pegawai khas Ahli Parlimen Subang R Sivarasa.

Chong hilang selama 10 hari, menyebabkan pihak berkuasa melancarkan pencariannya di seluruh negara. Dia pulang ke Kuala Lumpur dari Pattaya, Thailand pada Ahad dan memberitahu dia diculik ketika berada di Hat Yai.

“Saya akan terus memberikan kerjasama penuh kepada PDRM dan jika perlu, kepada polis Thai juga, dalam siasatan kes ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada polis Malaysia, Kedutaan Malaysia di Bangkok dan polis Thailand kerana membantunya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada keluarga, saudara dan rakan atas keprihatinan mereka sepanjang kehilangan saya.

“Saya minta maaf atas kesedihan dan rasa cemas yang terpaksa mereka lalui,” katanya, dan menambah maklumat diberikan Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh adalah tepat berdasarkan kenyataannya.

Katanya, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memberitahu ada maklumat di mana Pastor Koh yang diculik pada 13 Februari, berada.

Chong percaya lelaki itu menghubunginya kerana beliau menghadiri acara vigil yang diadakan untuk Pastor Koh.

Di terminal bas Hat Yai, beliau dan rakannya berpisah untuk meneruskan perjalanan masing-masing. Chong didatangi seseorang tidak dikenali yang menunjukkan satu nota tertulis: “Ikut lelaki ini”.

Lelaki itu membawa Chong ke sebuah hotel di Hat Yai di mana beliau bertemu “dua lelaki Melayu” di lobi.

Selepas ditahan tiga hari, beliau dibawa ke Pattaya dan dilepaskan di sana. – 19 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Cerita misteri seram, tapi buang masa...

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aris Penampar · Ulasan