Adakah Australia sembunyikan sesuatu, soal waris MH370


Thor Kah Hoong

Kehilangan MH370 terus menjadi misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2017.

“MENGAPA?”

Ia persoalan yang berlegar dalam fikiran waris kru penerbangan MH370 yang kini kehairanan, susulan berita Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) menggunakan undang-undang rahsia bagi menolak permintaan data satelit dan pendapat beberapa pakar yang diminta membantu pencarian pesawat hilang itu.

Pencarian pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 yang terhempas pada 8 Mac 2014 digantung pada Januari tahun ini selepas lebih dua tahun mengeruk 120,000km persegi selatan Lautan Hindi demi mengesan pesawat dan 239 orang yang berada dalam pesawat malang itu.

Jacquita Gomes, isteri Patrick Gomes, penyelia dalam penerbangan pesawat malang itu, berkata: “Seperti ada sesuatu yang hendak disembunyikan, diselindungkan. Selama ini, mereka berkata bersikap telus.

“Setiap apa yang dilakukan – telus? Jadi bersikap teluslah. Mengapa tidak membenarkan data itu didedahkan? Jika ada orang lain mahu membantu, mengapa tidak?”

Beliau berkata keluarga MH370 hanya inginkan kebenaran, menegaskan lautan atau fail kerajaan mengandungi kebenaran itu.

“Jika ada kecuaian, kesilapan, mengapa tidak mengakuinya sekarang? Apabila ia diketahui nanti, ia akan menjadi lebih teruk. Dunia sedang menunggu.”

Calvin Shim, suami ketua pramugari Christine Tan, hairan. “Saya fikir selama ini ATSB sangat telus. Mengapa kini menyekat maklumat? Itu yang menyebabkan saya kehairanan.”

Beliau, bagaimanapun, enggan membuat spekulasi mengenai keengganan pihak berkuasa Australia melepaskan sebarang maklumat lanjut.

“Saya tidak tahu tentang apa-apa yang disembunyikan… mungkin mereka tahu beberapa perkara yang ia tidak mudah bagi kerajaan untuk mendedahkannya.

“Saya tidak mempunyai keraguan ketelusan ATSB ini. Tahun lepas, apabila keluarga melawat Australia, ia sangat membantu dan memberikan banyak maklumat.”

Lee Khim Fatt, suami kepada pramugari Christine Foong, berkata: “Ia membuatkan saya berfikir kemungkinan wujudnya sesuatu dengan melindunginya. Ia hanya menyebabkan lebih banyak keraguan. Jika tiada masalah, mengapa enggan melepaskan maklumat itu?”

Penerbangan MH370 hilang pada Mac 2014 dengan 239 penumpang dan anak kapal, sebahagian besarnya warga China yang dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur.

Kehilangannya menjadi salah satu misteri, mencetuskan operasi mencari terbesar dan termahal dalam sejarah penerbangan.

Bagaimanapun, Australia, China dan Malaysia, yang menyelaras dan membiayai bersama operasi mencari diketuai ATSB, mengumumkan pada Januari penggantungan pencarian MH370. – 18  April, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments