Berjaya bentang RUU 355, Hadi disambut umpama wira di Terengganu


Zulkifli Sulong

Penyokong Abdul Hadi Awang menantinya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu semalam sebagai meraikan presiden PAS itu yang berjaya membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat. – Gambar oleh Buletinonline.net, 11 April, 2017.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang disambut umpama wira oleh penyokongnya di Kuala Terengganu semalam selepas dikatakan berjaya membentangkan usul rang undang-undang (RUU) persendirian meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) di Dewan Rakyat minggu lalu.

Kira-kira 500 penyokong menyambut Hadi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dan beliau kemudian diarak ke rumahnya di Rusila, Marang diiringi pasukan bermotosikal.

Bermula jam 9.30 malam tadi, Hadi diraikan pula di majlis ceramah sempena kejayaannya membentangkan usul itu.

Dewan terbuka Masjid Rusila, Marang tempat ceramah umum penuh sesak dengan penyokong, tetapi sebahagian daripadanya dipenuhi pelajar berpakaian seragam sekolah menengah agama.

Sementara Hadi diraikan dengan meriah pada majlis itu, seramai 10 ahli Parlimen Pakatan Harapan pula mengadakan majlis persidangan ala Parlimen di pejabat Invoke dekat ibu negara bagi membahaskan usul dikemukakan Hadi di Dewan Rakyat tetapi perbahasan ditangguhkan speaker.

Antara ahli Parlimen terbabit ialah Rafizi Ramli (PKR-Pandan), Khalid Samad (Amanah-Shah Alam), Mujahid Yusof (Amanah-Parit Buntar), Dr Siti Mariah Mahmud (Amanah-Kota Raja), Johari Abdul (PKR-Sungai Petani), Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) manakala Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh bertindak sebagai speaker.

Persidangan itu diadakan di depan kamera dan penonton dalam studio serta dipancarkan secara langsung melalui Facebook.

Di Facebok Rafizi saja, lebih 3,000 penonton mengikutinya secara langsung.

Terima kasih

Hadi ketika berucap berkata beliau berterima kasih kepada semua pihak yang membolehkan beliau membentangkan RUU persendirian bagi meminda Akta 355 itu.

“Terima kasih atas kepercayaan pemimpin PAS dan pemimpin Islam dalam kerajaan,” katanya.

Hadi juga mengulangi penegasannya yang undang-undang itu untuk orang Islam saja dan bukan Islam tidak ada kena mengena dengannya.

Beliau berkata tindakan speaker Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan usul itu ke sidang akan datang bertujuan supaya usul itu dapat dikaji semua pihak, khususnya bukan Islam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Pilihan Raya PAS Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Terengganu Satiful Bahri Mamat. – 11 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • tapi kawan PAS yang bernama DAP tu masih kuat menentang RUU 355. bagaimana PAS nak yakin DAP yang selalu menjadi 'master mind' untuk PAKATAN. sedangkan PKR pun masih ragu-ragu. Dulu kan mereka sekawan. tapi kini?

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amar amer · Ulasan