Apandi arah SPRM lengkapkan siasatan SRC International


Lionel Morais

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali berkata NFA atau tiada tindakan lanjut tidak bermakna fail siasatan sesuatu kes itu ditutup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2017.

PEGUAM Negara Mohamed Apandi Ali mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara (SPRM) melengkapkan siasatan terhadap aliran wang dari SRC International ke akaun perdana menteri, dan pada masa sama menjelaskan beliau tidak pernah arah siasatan dihentikan.

“Bila kami isytihar NFA (tiada tindakan lanjut), ia bermakna kami letak ia di tepi. Kecuali dan jika ada bukti baharu, waran dikeluarkan untuk fail dibuka semula dan disiasat sekali lagi, kami akan buat begitu.

“Tidak ada fail yang tutup secara kekal bila kami kata NFA, walaupun fail 1MDB,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dilaporkan SRC International memindahkan RM42 juta ke dalam akaun bank peribadi Najib Razak antara Disember 2014 dan Februari 2015 melalui anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn Bhd dan syarikat berasingan,

Ihsan Perdana ialah syarikat swasta yang ditubuhkan untuk menguruskan sumbangan “tanggungjawab sosial korporat” 1MDB.

Apandi berkata kes SRC International dikendalikan oleh SPRM dan beliau “sudah agak lama” mengarahkan badan anti rasuah itu mengakhiri siasatan berkenaan.

“Bila saya kata tidak ada lagi siasatan (di sidang media pada Januari 2016), ia mengenai RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi perdana menteri,” katanya.

Pada sidang media itu, Apandi berkata beliau berpuas hati dengan siasatan yang mendedahkan jumlah AS$681 juta yang dimasukkan ke akaun Najib adalah sumbangan peribadi daripada kerabat diraja Arab Saudi yang diberi kepadanya tanpa apa-apa balasan.

Peguam negara turut mendedahkan Najib memulangkan AS$620 juta daripada sumbangan itu kepada keluarga diraja Arab Saudi, menambah tidak ada bukti menunjukkan sumbangan itu dalam bentuk rasuah.

“Siasatan terhadap yang lain masih berterusan, mengenai 1MDB dan SRC International.

“Saya kata NFA (sebelum ini). Ia arahan standard diberikan oleh peguam negara atau timbalan pendakwa raya kepada agensi penyiasatan. Maksudnya ialah ia NFA sehingga ada perkembangan terbaru.

“Jika saya buat keputusan untuk buka, maka saya boleh buka ia bila-bila saja, tidak ada fail yang ditutup. Tiada tindakan lanjut tidak bermakna fail itu ditutup,” katanya.

Apandi berkata beliau menjangkakan siasatan terhadap SRC International akan siap tidak lama lagi. Beliau tidak dapat memberikan jangka mangsa tetapi berkata ia mungkin dalam tempoh kira-kira sebulan.

“Selepas sidang akhbar itu, saya dinasihatkan supaya jangan bercakap dengan media, dan sebab itu saya menerima layanan yang teruk,” katanya, menjelaskan mengapa beliau tidak membetulkan salah tanggapan yang menyelubungi kes itu, sebelum ini.

Apandi enggan mengulas mengenai tuntutan saman Jabatan Kehakiman AS yang memohon menyita aset dikatakan diperoleh daripada dana 1MDB, berkata pihak berkuasa AS tidak meminta nasihatnya berhubung perkara itu. – 11 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • "beliau tidak pernah arah siasatan dihentikan" nampak sangat pembangkang yang selalu memanipulasikan fakta yang sebenar.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amar amer · Ulasan