Bagaimana negara alami kerugian hingga RM85.5 bilion


Chan Kok Leong Sheridan Mahavera

SKALA kerugian tak berubah, tidak kira berapa banyak masa berlalu.

Jumlah angka tersebut amat mengejutkan dan tiada apa dapat mengubah hakikat yang rasuah, kekurangan ketelusan dan tadbir urus yang teruk semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak selama bertahun-tahun memberi kesan terhadap Malaysia dan rakyatnya.

Faktanya seperti berikut:

Sejumlah RM85.51 bilion dana pembayar cukai setakat ini digunakan untuk menyelamatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bermasalah seperti Perwaja Steel, Malaysia Airlines (MAS) dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sejak 36 tahun lalu.

Hanya seorang berdepan hukuman penjara di Malaysia berhubung skandal kewangan. Beliau adalah pemberi maklumat.

Tiada ketua pegawai eksekutif, pengerusi lembaga pengarah atau menteri dihukum penjara kerana pecah amanah, rasuah, kecuaian untuk salah urus tadbir GLC.

Bagaimanapun, beberapa bulan kebelakangan ini, ibu kepada empat anak, Zariyah Mohd Salleh, 42, dijatuhi hukuman 14 hari penjara dan denda RM200 selepas mengaku bersalah mencuri 10 keping coklat dari sebuah pasar raya di Kuala Lumpur.

T. Gopal dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM1,200 kerana mencuri susu formula bayi.

Bagi melihatkan dalam perspektif lebih mudah, dianggarkan RM83.991 bilion pinjaman pelajar diberikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak ia ditubuhkan pada 1997 sehingga 2015.

RM85 bilion itu mencukupi bagi lebih 70,000 pelajar universiti dan kolej yang mengambil pinjaman daripada PTPTN sejak dana itu ditubuhkan.

Atau ia boleh digunakan untuk membina 2.442 juta rumah skim perumahan kos rendah untuk rakyat atau lebih 526,000 rumah PR1MA kos sederhana.

Dalam Bajet 2017, kerajaan memperuntukkan RM6.8 bilion untuk 7 juta penerima di bawah Skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Dana itu boleh digunakan untuk membayar BR1M bagi tempoh 12 tahun akan datang.

Sejak beberapa bulan lalu, penyokong bekas perdana menteri Dr Mahathir dan Najib saling berbalas kenyataan mengenai isu rasuah dan salah urus ekonomi. Kenyataan yang menyedihkan dan tiada satu pun dapat dikagumi.

Lebih buruk lagi, kemungkinan skandal seperti itu akan berterusan kerana kerajaan akan menggunakannya model pembangunan yang mencampuradukkan perniagaan dengan politik yang akan menyebabkan kegagalan, kata penganalisis politik Wan Saiful Wan Jan.

Dalam kajian, buku dan temu bual bersama pakar mengenai kegagalan ini, terdapat senario berulang iaitu kerajaan menggunakan dana pembayar cukai untuk membina dan menguruskan syarikat dengan kurang ketelusan, tadbir urus yang baik atau akauntabiliti.

The Malaysian Insight meneliti tiga buku terkenal yang mendalami skandal seperti ini: Edmund Terence Gomez dan Jomo K.S. Malaysia’s Political Economy, Politics, Patronage and Profits; Barry Wain Malaysian Maverick, Mahathir in Turbulent Times dan Tony Pua The Tiger that Lost its Roar.

The Malaysian Insight juga meneliti puluhan kajian yang dijalankan ahli Parlimen seperti Pua, Rafizi Ramli dan Lim Kit Siang, yang menyaksi serta mendedahkan skandal ini.

Skandal Perwaja Steel, Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan 1MDB, mempunyai persamaan amat nyata.

Menurut buku dan artikel berita mengenai skandal ini, setiap kali individu terbabit disoal, mereka mendakwa melakukannya atas arahan penaung politik mereka.

Berdasarkan laporan berita lalu, apabila syarikat atau urus niaga gagal dan menyebabkan berbilion pembayar cukai digunakan untuk menyelamatkannya, mereka sentiasa dilindungi daripada pendakwaan.

Individu yang diseret ke mahkamah biasanya didapati tidak bersalah seperti dalam kes Dr Ling Liong Sik dan Chan Kong Choy (PKFZ), serta Eric Chia (Perwaja).

Satu-satunya individu yang dikaitkan dengan 10 skandal popular Malaysia yang menjalani hukuman penjara atau didapati bersalah di mahkamah, adalah apabila individu terbabit berada di luar negara. Dalam kes Bumiputra Malaysia Finance (BMF), tiga pengarahnya dibicarakan dan dipenjarakan di Hong Kong.

Setakat ini, rakyat Malaysia yang berhadapan hukuman penjara di Malaysia berkaitan skandal seperti ini adalah Rafizi, ahli Parlimen Pandan.

Visi besar

Kegagalan yang berlaku semasa pentadbiran Dr Mahathir selama 22 tahun adalah visi besar yang goyah dalam pelaksanaannya.

Menurut Gomez, Dr Mahathir menggunakan kuasa jawatannya mewujudkan kelas kapitalis Bumiputera yang diterapkan dalam dasar induk lain untuk memupuk industri berat bertaraf dunia.

“Beliau mahu mewujudkan 20 jutawan Melayu bagi setiap 20 jutawan Cina di Malaysia,” kata Gomez yang merupakan profesor ekonomi di Universiti Malaya.

Antara individu yang dibawa bekas menteri kewangan Daim Zainuddin (beliau juga ahli perniagaan), adalah Halim Saad, Tajuddin Ramli dan Wan Azmi Wan Hamzah yang mengambil jawatan penting dan kepentingan dalam syarikat utama, seperti Renong Bhd, UEM dan MAS.

Walaupun terdapat perbezaan dari segi pendekatan dan personaliti terlibat, pengganti Dr Mahathir, Abdullah dan Najib sebahagian besarnya mencontohi model tersebut dengan mewujudkan GLC bersama rakan rapat atau mereka yang berkaitan politik.

Ali Salman daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), berkata model itu adalah masalah asas kerana kerajaan mahu memacu ekonomi menggunakan syarikat yang dibiayai rakyat.

“Kerajaan membentuk syarikat dengan orang terpilih, menggunakan wang pembayar cukai, tetapi pembayar cukai hampir tidak mempunyai kawalan langsung ke atas bagaimana wang itu dibelanjakan. Ini adalah kelemahan asas.”

Perbezaan era Dr Mahathir dan  Najib

Gomez berkata Dr Mahathir mempunyai visi dan berfikir negara ini boleh mendapat manfaat daripada perancangannya.

“Kegagalan Dr Mahathir disebabkan beliau enggan mendengar maklum balas yang diterimanya daripada birokrat, termasuk rakan Kabinet. Beliau juga lepas pandang terhadap syarikat keusahawanan China dalam rancangan perindustriannya.”

Dr Mahathir juga mengakui beliau silap memilih, kata Gomez.

“Ramai yang mengecewakan Dr Mahathir,” kata Gomez, sambil menambah banyak individu ini berusaha mengisi poket mereka sendiri dengan peluang diberikan Dr Mahathir.

Dalam beberapa kes, individu ini sama ada tidak berminat dalam perniagaan, seperti dalam kes Tajuddin dan MAS.

Katanya, skandal Dr Mahathir dan Najib berbeza.

“Dalam 1MDB, tiada apa yang berwawasan atau bermanfaat mengenainya. Perniagaan tersebut adalah spekulasi. Tidak seperti Dr Mahathir. Beliau mencipta kereta dan membina industri berat Malaysia, membina jambatan. Anda tidak boleh mengatakan perkara itu sama dengan 1MDB.”

Paling penting, tidak pernah terdapat sebarang dakwaan wang daripada usaha Dr Mahathir dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya, kata Gomez.

Najib menafikan dakwaan dana daripada 1MDB disalurkan ke dalam akaun banknya. Peguam negara juga menyatakan ia daripada seorang penderma Arab Saudi.

Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Ideas Wan Saiful berkata, keputusan usaha ini menunjukkan skandal sama akan berlaku jika model ekonomi sekarang tidak berubah.

“Bagi syarikat korporat Malaysia, kawalan kerajaan terhadap perniagaan meningkat di bawah pentadbiran Najib,” kata Wan Saiful.

“Jika kita bercakap mengenai tadbir urus korporat Malaysia, maka perkara paling penting adalah merancang syarikat paling perlu untuk diswastakan, bukan semua GLC. Kerajaan perlu mengawal selia, bukan menguruskan perniagaan.” – 1 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen