Membawa bola sepak negara ke persada dunia


Lionel Morais

Ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan bawah 15 tahun, Lim Teong Kim (baju merah) memantau pemainnya semasa sesi latihan di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 Mei, 2017.

LIM Teong Kim sudah menetapkan matlamat yang jelas bagi bola sepak Malaysia – pertama, melayakkan diri ke Piala Dunia Bawah 17 pada 2019. Kedua, menyerapkan mereka ke dalam pasukan kebangsaan dan mula mencabar pertandingan di pentas dunia.

Tetapi untuk mencapai semua itu, beliau berkata ada tiga perkara perlu dilakukan terlebih dahulu – membangunkan sistem belia sewajarnya, membangunkan infrastruktur dan mengubah cara berfikir semua pihak terlibat.

Teong Kim kini bertanggungjawab membangunkan sistem belia sewajarnya melalui Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).

Satu-satunya kebimbangan beliau, untuk mendapatkan sokongan dan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pasukan negeri.

Beliau berfikir mengenai apa yang akan berlaku kepada pemainnya selepas mereka mencapai usia 17 tahun. Ke mana mereka akan pergi selepas itu? Justeru, beliau mengharapkan campur tangan FAM dan pasukan negeri.

Sementara bagi dua isu lain, berada di luar kawalannya.

Dalam temu bual bersama The Malaysian Insight, bekas pemain bola sepak kebangsaan, yang juga jurulatih pasukan remaja Bayern Munich selama 12 tahun, berkata penurunan dalam bola sepak Malaysia bermula apabila pegawai yang menguruskan sukan itu hanya memikirkan kepentingan sendiri sahaja.

Dan ini ketika mereka berhenti berfikir tentang masa depan sukan, ia menyebabkan bola sepak Malaysia kekal lesu.

Berikut pandangan beliau mengenai isu yang melanda bola sepak Malaysia:

Kekurangan infrastruktur dan organisasi

Penurunan bola sepak Malaysia sejak beberapa dekad lalu boleh disimpulkan kepada: setiap orang yang terlibat dalam sukan itu masih mempunyai mentaliti “amatur”, tidak mengambil kira untuk meningkatkan infrastruktur permainan.

Teong Kim berkata ini sangat jelas sejak beliau menjadi pemain bola sepak kebangsaan pada 80-an dan 90-an hingga ke hari ini.

“Pada ketika itu, sesi latihan dilakukan di padang awam yang tidak mempunyai bilik persalinan. Kami menukar pakaian di bawah pokok. Soh Chin Aun dan Santokh Singh (bekas pemain bola sepak kebangsaan) boleh mengesahkannya.


Lim Teong Kim yakin pasukannya mampu mencapai kejayaan, walaupun ia akan mengambil sekurang-kurangnya satu dekad lagi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 Mei, 2017.

“Kami tidak mempunyai padang atau kelab sewajarnya untuk berlatih yang boleh kami kata kepunyaan sendiri. Itu 30-40 tahun lalu. Ketika itu tidak mengapa, Malaysia miskin, kurang membangun, tetapi tidak lagi.”

“Lihatlah semua ini sekarang,” katanya sambil menunjuk ke latar langit Kuala Lumpur. “Mengapa sukan tidak bergerak sepantas ini?

Beliau dengan tegas menyatakan ini: Mereka yang terlibat dalam bola sepak tidak berminat membangunkan permainan, mereka hanya memikirkan poket sendiri.

Ini adalah di mana, katanya, seseorang seperti Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim, atau lebih dikenali sebagai TMJ, membawa kebaikan kepada sukan.

“TMJ akan mengubah semua ini, kerana beliau tidak mempunyai kepentingan peribadi, tiada agenda peribadi. Beliau seorang yang kaya, apa yang beliau mahu hanyalah kejayaan dan ini baik untuk bola sepak.”

Teong Kim berkata kebanyakan orang menyangka bola sepak hanyalah mengenai latihan di padang. Apa yang mereka tidak sedar ia adalah satu profesion. Pemain bola sepak perlu mempunyai semangat kekitaan.

“Tempat kerja sewajarnya, jika anda suka. Dengan padang latihan dan bilik persalinan yang bagus. Satu tempat di mana pemain bola sepak boleh menganggapnya sebagai tempat sendiri.”

Beliau turut memuji pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), juara Liga Super Malaysia, mengatakan ia satu-satunya pasukan kelab dengan infrastruktur sepatutnya. TMJ menguruskan JDT.

Teong Kim kemudian memberi fokus kepada kepada kerajaan yang mengambil padang atas nama pembangunan. Walaupun beliau menerima ia mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat, beliau mempersoalkan mengapa tiada gantian di kawasan lain.

Teong Kim menegaskan perkara sama turut berlaku di Eropah di mana padang permainan dikorbankan bagi memberi laluan kepada pembangunan, tetapi kerajaan di sana sensitif kepada keperluan badan sukan dan penggantian padang tidak menjadi isu.

Pasukan negeri di sini, kata beliau, terus mencari tempat untuk berlatih.

“Kita kata bola sepak kita kini sudah menjadi profesional, tetapi dalam banyak cara, kita tidak pernah meninggalkan mentaliti amatur.”

“Menjadi profesional bermakna, mereka mesti mempunyai rumah. Chelsea (kelab bola sepak English) tidak perlu bergerak, mencari padang untuk berlatih.

“Mereka mempunyai kawasan latihan sepatutnya. Sebuah pusat di mana semua orang datang, sama ada pasukan senior atau junior.

“Jadi, di manakah kita punya?

“Kita tidak boleh menafikannya lagi.”

Mengubah pemikiran

Perlu ada perubahan lengkap pemikiran di kalangan semua yang terlibat dalam bola sepak, daripada pegawai kepada jurulatih dan pemain, kata Teong Kim.

“Mereka perlu menetapkan tumpuan pada perkara lebih besar, bermakna melihat di luar Asia Tenggara dan juga Asia. Ia perlulah cabaran di pentas dunia.”

Teong Kim mempersoalkan mengapa negara kurang maju seperti Ecuador dan Chile boleh melayakkan diri ke Piala Dunia tetapi Malaysia tidak boleh.

“Adakah kita spastik, atau cacat? Jika kita ingin diiktiraf dalam bola sepak dunia, pemikiran ini mesti berubah.”

Masalahnya terletak pada pegawai, jurulatih dan pemain yang mahu hidup mudah. Mereka berpuas hati dengan apa yang Malaysia capai setakat ini.

“Kebanyakannya gembira dengan kegemilangan masa lalu,” kata Teong Kim.

Tetapi dengan set baru pemain remaja di bawah jagaannya, Teong Kim, yakin dapat mencapai kejayaan, walaupun ia akan mengambil sekurang-kurangnya satu dekad lagi.

“Jurulatih dan pemain saya sudah menetapkan matlamat kami. Ia untuk melayakkan diri ke Piala Dunia Bawah 17.”

Dan jika itu berlaku pada 2019, jelaslah bola sepak Malaysia kembali ke landasan yang betul.

Kali terakhir Malaysia bersaing di pentas dunia adalah ketika mereka menjadi tuan rumah Kejohanan Remaja Dunia FIFA 1997.

Malaysia dalam Kumpulan A bersama Uruguay, Maghribi dan Belgium. Mereka tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan selepas tewas semua tiga perlawanan. – 7 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments