PEGUAM dan pengkritik isu semasa, Azhar Harun sekarang menduduki salah satu kerusi paling panas, jadi pengadil proses pilihan raya di Malaysia.
Azhar, atau yang lebih dikenali sebagai Art Harun, berkata beliau pada mulanya keberatan untuk menerima lantikan sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Tetapi beliau kemudian menerimanya kerana seperti kata orang, perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata.
Duduk di luar kerajaan memang mudah untuk lantang mengkritik isu. Tetapi beliau sekarang berpeluang untuk melakukan perubahan yang sebenar.
“Saya suka dengan kerjaya saya sebagai peguam dan sebagai seorang yang lantang atas beberapa isu. Tetapi sekarang saya kena menyesuaikan diri. Sebab itulah juga saya pada mulanya keberatan (menerima lantikan),” kata Azhar.
“Tapi orang kata ‘dia ini cakap banyak, bila kita hendak dia buat, dia tak hendak’. Itu yang buat saya berfikir.
“Saya ambil tawaran dan tengok berapa lama saya bertahan,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam wawancara pertamanya sejak pelantikannya diumum minggu lepas.
Azhar sebelum ini menulis banyak rencana di media dan jadi hos program video di web mengenai undang-undang dan isu semasa, dan dikenali sebagai seorang yang kritikal bersuara.
Berita pelantikannya sebagai pengerusi SPR mendapat reaksi yang pelbagai. Ada yang memuji kerana kelayakan dan kemampuannya; ada juga yang mempersoalkan kenapa pelantikan itu tidak melalui Parlimen.

Pelantikan Azhar jadi perhatian kepada Pakatan Harapan dalam manisfestonya berjanji kuasa perdana menteri untuk mempengaruhi pelantikan beberapa jawatan utama akan dikurangkan dengan memindahkan kuasa itu kepada jawatankuasa parlimen.
“Saya tidak mahu mempertahankan pelantikan saya sendiri. Saya juga tidak mahu komen tentang manifesto Pakatan Harapan kerana mereka kerajaan.
“Saya tidak memihak dan bukan juga ahli mana-mana parti politik walaupun saya pernah membantu kedua-dua belah pihak. Saya membantu BN dan Pakatan (PH) dalam pilihan raya sebagai peguam,” katanya di pejabatnya di Kuala Lumpur.
Azhar sedar akan persepsi terhadapnya. Beliau berjanji tidak akan dipengaruhi oleh kerajaan dan akan bertanggungjawab atas semua keputusannya.
“Saya akan mendengar (semua pihak) dan akan menimbang semua idea, tetapi keputusannya adalah keputusan saya.
“Kalau elok untuk negara dan proses, saya akan buat. Kalau tidak, kita tidak buat,” katanya.
Berikut adalah petikan wawancara:
Saudara lantang mengkritik sebelum ini. Adakah bimbang dengan persepsi umum?
Itu yang mula-mula saya fikirkan apabila saya ditawarkan jawatan ini. Yang pertama saya fikirkan adalah, selepas semua yang saya buat, bagaimana saya hendak berdepan dengan persepsi itu. Saya sedar hal itu.
Tetapi (apa yang saya tulis) itu adalah pemikiran saya sebagai rakyat dan pengamal undang-undang. Saya melaksanakan hak saya bersuara. Mungkin ketika itu saya tidak fikir apa.
Zaman itu sudah berlalu. Saya sekarang menyumbang langsung pada usaha membina negara baru ini. Ini waktu bekerja.
Saya tidak kata apa yang saya katakan dulu itu boleh dilupakan atau tidak lagi bermakna. Apa yang saya sebut dulu relevan pada masa ia disebut. Tetapi sekarang saya di lapangan dan menjalankan tugas dengan amanah yang diberikan kepada saya.
Saya sekarang sudah duduk di sini. Saya mungkin kemudiannya sedar bahawa apa yang sebut dulu tidak betul sama sekali. Tetapi saya akan jadi orang pertama yang mengaku kalau saya salah.
Saya bukan kerja jawatan. Saya tidak pernah hendak. Ini kerusi panas. Saya suka memencilkan diri. Saya suka dengan kerjaya saya sebagai peguam dan sebagai seorang yang lantang atas beberapa isu. Tetapi sekarang saya kena menyesuaikan diri.
Sebab itulah juga saya pada mulanya keberatan (menerima lantikan). Tapi orang kata ‘dia ini cakap banyak, bila kita hendak dia buat, dia tak hendak’. Itu yang buat saya berfikir.
Saya ambil tawaran dan tengok berapa lama saya bertahan.
Tetapi apabila saya terima cabaran, saya mahu buat betul-betul. Kalau saya rasa tugas ini tidak boleh dilaksanakan, saya tidak akan terima.
Bagaimana kalau ada campur tangan kerajaan?
Saya akan melibatkan semua pihak yang berkepentingan – NGO, kerajaan dan pembangkang. Saya akan mendengar (semua pihak) dan akan menimbang semua idea, tetapi keputusannya adalah keputusan saya.
Semuanya terletak pada saya. Saya perlu buat keputusan selepas berunding dengan ahli-ahli suruhanjaya dan mereka yang terlibat dengan operasi.
Kalau elok untuk negara dan proses, saya akan buat. Kalau tidak, kita tidak buat.
Ada orang kata Parlimen sepatutnya mengesahkan pelantikan ini.
Saya tidak mahu mempertahankan pelantikan saya sendiri. Saya juga tidak mahu komen tentang manifesto Pakatan Harapan kerana mereka kerajaan.
Saya tidak memihak dan bukan juga ahli mana-mana parti politik walaupun saya pernah membantu kedua-dua belah pihak. Saya membantu BN dan Pakatan dalam pilihan raya sebagai peguam.
Saya seorang yang cerewet pasal undang-undang dan pelantikan ini dalam rangka peruntukan perlembagaan yang ada.
Sekiranya nanti, apabila mekanisme prosedur itu sudah ada (iaitu Parlimen mesti meluluskan pelantikan pesuruhjaya SPR), saya sedia dihadapkan ke Parlimen dan biar mereka menentukan apakah saya patut disambung atau tidak.
Ini tugas berat. Saya rasa terharu dan berterima kasih kepada KJ (Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin) atas keyakinannya pada kemampuan saya. Saya akan laksanakan yang terbaik mengikut Perlembagaan dan undang-undang.

Apa yang akan saudara bawa kepada SPR?
Kredibiliti SPR sudah tercalar sejak beberapa tahun kebelakangan. Sesetengah rungutan itu bertentangan dengan dasar dan sesetengahnya pula bercanggah dengan operasi. Saya sudah melihat aduan tentang pengundi berumur 100 tahun dalam daftar pengundi, misalnya. Saya juga sudah lihat penjelasan SPR yang mana ia tidak boleh mengeluarkan nama pengundi tanpa sijil kematian. Ini penjelasan yang wajar.
Tentang 40 pengundi di satu alamat, ini di tempat yang penduduknya menggunakan alamat yang sama. Kadang-kadang ini dibuat oleh parti politik dan itu sebabnya timbul tuduhan salah laku. Tetapi SPR tidak boleh pergi merata dan minta pengundi untuk tukar alamat.
Kemampuan operasi SPR okay; cuma dasarnya yang membimbangkan saya.
Jadi, apakah kriteria untuk SPR yang baik? Bagi saya, kecekapan, adil dan diyakini. Saya mahu menekankan nilai-nilai ini. – 25 September, 2018.
Komen