PEGUAM terkenal Azhar Azizan @ Harun dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya baharu.
Ketua Setiausaha Negara Ismail Bakar berkata, pelantikan Azhar, 55, diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, mengikut Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.
“Dengan kelayakan dan pengalaman yang ada, saya yakin beliau akan dapat menjalankan tugas, kewajipan dan tanggungjawab sebagai pengerusi SPR mengikut kehendak perlembagaan persekutuan dengan sempurna,” kata Ismail.
Peguam itu menggantikan Mohd Hashim Abdullah yang melepaskan jawatannya pada 1 Julai, dua tahun lebih awal daripada tarikh bersara wajib.
Azhar yang popular dengan nama Art Harun itu dikenali sebagai pakar undang-undang pilihan raya ketika berkhidmat sebagai peguam di beberapa firma termasuk Tetuan Shafee and Co dan Tetuan Cheang and Co.
Beliau juga giat mengutarakan pandangan melalui media dan lantang mengkritik kerajaan semasa pentadbiran Najib Razak.
Kini beliau merupakan rakan kongsi di firma Tetuan Azhar and Co. – 19 September, 2018.
Komen