Pengerusi SPR bersara awal 1 Julai


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memaklumkan pengerusinya Mohd Hashim Abdullah 'akan memendekkan tempoh perkhidmatan' beliau, dan ia sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2018.

PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd Hashim Abdullah akan melepaskan jawatannya pada 1 Julai ini, dua tahun lebih awal dari tarikh beliau sepatutnya bersara wajib.

SPR dalam satu kenyataan memaklumkan Mohd Hashim “akan memendekkan tempoh perkhidmatan” beliau, dan ia sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perkenan Seri Paduka itu dimaklumkan melalui surat daripada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara bertarikh 7 Jun lepas.

“Pemendekan tempoh perkhidmatan ini juga telah dimaklumkan kepada YAB Perdana Menteri melalui surat rasmi bertarikh 11 Jun 2018,” kata kenyataan SPR itu.

Mohd Hashim, 64, memegang jawatan itu sejak 24 Januari 2016.

Perkara 114 (3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan Pengerusi SPR memegang jawatan sehingga umur 66 tahun. 

Perletakan jawatan Mohd Hashim ini menambah daftar panjang senarai peralihan pimpinan institusi sejak Barisan Nasional (BN) tersingkir dari Putrajaya, sama ada melibatkan mereka yang meletakkan jawatan, tidak diperbaharui kontrak jawatan atau diganti dengan orang baru.

Hari ini, dua hakim kanan—Ketua Hakim Negara, Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Zulkefli Ahmad Makinuddin—letak jawatan berkuatkuasa 31 Julai. Sebelumnya, Gabenor Bank Negara, Muhammad Ibrahim letak jawatan berkuat kuasa 6 Jun lepas, serta beberapa ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan dan pimpinan media yang pro BN.

Semua lantikan baru bagi jawatan pengerusi SPR, dua hakim kanan berkenaan dan gabenor bank pusat memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong, yang dijangkakan akan disempurnakan seawal-awalnya minggu depan, selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.

Mohd Hashim bertanggungjawab menyelia proses persempadanan semula yang kontroversi, yang digunapakai dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Sempadan baru kontroversi itu memecahkan banyak kawasan pilihan raya mengikut garis kaum. Ia disifatkan oleh banyak penganalisis politik ditunjukkan oleh pentadbiran Najib Razak bertujuan menyekat Pakatan Harapan (PH) menang PRU14.

Tetapi pada 9 Mei lepas, PH mencapai majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan di Putrajaya, malah menguasai semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Mohd Hashim pada malam PRU14 dikritik keras kerana dituduh melengah-lengahkan pengumuman keputusan selepas PH yang dipengerusikan Dr Mahathir Mohamad dilihat mendahului BN.

Penganalisis politik serantau Karim Raslan yang muncul sebagai ahli panel diskusi keputusan PRU14 malah secara tegas dan terbuka mendesak Mohd Hashim letak jawatan kerana gagal menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat.

Sebelum menyertai badan pengendali pilihan raya itu pada 5 September 2014, Mohd Hashim adalah ketua setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. – 13 Jun, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Buang kerja terus lah. Kenapa biar dia bersara, kita kena bayar dia pencen sampai mati. @#$%!!!!

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Chin Tu Lan · Ulasan