PELANTIKAN Azhar Azizan Harun sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya yang baharu adalah langkah yang baik namun ia melanggar janji Pakatan Harapan, kata ahli parlimen pembangkang Khairy Jamaluddin.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata pelantikan yang dilaksanakan kerajaan PH itu harus melalui Parlimen seperti yang dijanjikan dalam manifesto.
“Anda tidak boleh mulakan proses reform institusi dengan pelantikan yang melanggar janji reform yang anda mahu laksanakan.
Bekas ketua Pemuda Umno itu menambah pelantikan Azhar harus dilakukan ketika Parlimen kembali bersidang pada 15 Oktober depan.
“Kenapa pelantikan itu tidak boleh ditangguhkan sehingga ia mendapat kelulusan Parlimen? Tanpa pengerusi baharu, SPR sudah mula mengurus PRK Port Dickson. Jangan jadikan itu sebagai alasannya.” Kata Khairy merujuk pilihanraya kecil yang akan diadakan pada 13 Oktober depan.
Khairy juga berharap Azhar yang lebih dikenali sebagai Art Harun akan menangguhkan dahulu penerimaan pelantikannya sehingga Parlimen kembali bersidang. Bagaimanapun, beliau menegaskan peguam itu layak untuk jawatan tersebut.
“Beliau adalah calon yang berkebolehan dan layak untuk jawatan itu. Saya yakin beliau akan memperkasakan sistem pilihanraya dan mengotakan janji untuk melaksanakan pilihanraya yang adil bagi semua parti politik di Malaysia,” kata beliau lagi.
Awal hari ini, Ketua Setiausaha Kerajaan Ismail Bakar mengumumkan pelantikan Azhar sebagai pengerusi SPR yang baharu di samping mengatakan beliau mempunyai pengalaman untuk mengetuai suruhanjaya itu.
Azhar menggantikan Mohd Hashim Abdullah yang meletakkan jawatan pada 1 Julai lalu selepas tempoh kontraknya yang dijadualkan pada Ogos 2020 dipendekkan.
Pengerusi SPR yang baharu itu memiliki sarjana muda dan sarjana dalam Undang-undang dari Universiti Malaya dan Kings’s College, Universiti London.
Azhar yang merupakan anak jati Kedah, mempunyai pengalaman 31 tahun sebagai peguam. Beliau memulakan kariernya di firma Allen & Gledhill pada tahun 1987. Beliau kemudian meneruskan kerjayanya di beberapa buah firma terkenal.
Beliau juga merupakan pengulas politik di samping banyak menulis artikel dan mengacarakan acara-acara mengenai undang-undang dan isu semasa.–21 September, 2018.
Komen