Tiga ahli Parlimen nafi mahu keluar Umno


Nabihah Hamid

TIGA ahli Parlimen Umno nafi mahu meninggalkan parti seperti mesej yang tersebar dalam aplikasi WhatsApp sejak tengahari tadi. 

Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias menegaskan beliau tidak pernah merancang mahupun bercadang untuk keluar daripada parti terbesar Melayu itu. 

“Saya akan tetap dengan pejuangan dan mandat Umno dan BN yang diberikan para pengundi di Parlimen Jelebu pada PRU14.

“Saya tidak akan menghampakan harapan dan mengkhianati kepercayaan yang diberi rakyat. Saya tidak akan sama sekali menjadi seorang yang bacul dengan tindakan meninggalkan parti Umno yang telah berjasa kepada rakyat sejak 72 tahun lalu hanya semata-mata BN tewas dalam PRU14, katanya kepada The Malaysian Insight. 

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu tersenarai dalam 17 orang yang kebanyakannya ahli Parlimen Umno yang didakwa mahu keluar parti.

Senarai tersebut turut meletakkan nama Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman yang baru meninggalkan Umno.

Nama lain yang dikatakan mahu keluar parti ialah Shahidan Kassim, Khairy Jamaludin dan Shamsul Anuar Nasarah. 

The Malaysian Insight sedang mendapatkan reaksi mereka. 

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz menafikan khabar angin bahawa beliau akna meninggalkan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2018.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin berkata beliau enggan digelar pengkhianat dengan tindakan meninggalkan parti. 

“Kebanyakan kita ini dapat peluang jadi pemimpin dan menteri kerana Umno. Jadi kalau kita tinggalkan Umno kita akan digelar pengkhianat sampai mati.

“Tidak mungkin kita sanggup menggugur ataupun membubarkan Umno,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz juga turut menafikan khabar angin tersebut. 

“Saya tidak akan tinggalkan Umno,” kata bekas menteri pelancongan itu. 

Semalam, Mustapa mengumumkan keluar Umno selepas 40 tahun berada dalam parti.  Beliau melihat Umno tiada tanda untuk memperbaiki parti.  

Hari ini, negara dikejutkan pula dengan pengunduran Anifah yang mengikut jejak langkah Mustapa. 

Seramai lima ahli Parlimen, termasuk Mustapa dan Anifah serta 13 Adun di beberapa negeri sudahpun meninggalkan BN setakat ini, sejak parti itu kalah dalam pilihan raya umum 9 Mei. – 19 September, 2018.

Setakat ini lima ahli Parlimen meninggalkan Umno berikutan kegagalan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke 14 dengan bekas menteri Mustapa Mohamed dan Anifah Aman merupakan yang terbaharu. – Gambar The Malaysian Insight, 19 September, 2018 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen