Di Port Dickson, Anwar lawan siapa?


Noor Azam Shairi

Anwar Ibrahim mahu bertanding di Port Dickson dalam langkah pertama kembali ke Dewan Rakyat sebelum jadi perdana menteri. Tetapi, lawannya bukan hanya Barisan Nasional, Umno dan PAS semata-mata. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2018.

APABILA Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dibuka tidak lama lagi, Anwar Ibrahim bukan saja akan berdepan pembangkang Barisan Nasional (BN) yang tentunya akan didukung oleh PAS.

Beliau juga akan berdepan dengan penyokong Pakatan Harapan (PH) khasnya Bersatu yang tidak bersetuju dengan PKR.

Puncanya, tak lain tak bukan, pemilihan PKR yang pengundiannya akan berlangsung hujung minggu depan.

Puncanya juga Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid, calon kerusi Majlis Pimpinan Tertinggi, yang menuduh Dr Mahathir Mohamad berkomplot dengan Daim Zainuddin tidak mahu Anwar jadi perdana menteri.

Cerita itu dijaja dalam kempen pemilihan PKR, yang akan dibuat penentuannya oleh lebih 800,000 ahli parti, sama ada kekalkan Mohamed Azmin Ali sebagai timbalan presiden atau gantikan dengan Rafizi Ramli.

Rafizi, dalam kempen bersama pasukannya yang digambarkan istiqamah dengan semangat Reformasi 1998, mendakwa Azmin sebenarnya yang mahu jadi presiden PKR. Rafizi juga berkata Anwar tidak boleh jadi perdana menteri dengan selesa kalau orang nombor duanya juga seorang yang bercita-cita mahu jadi perdana menteri.

Maksudnya, untuk Anwar jadi perdana menteri yang baik, lebih baik Rafizi daripada Azmin yang jadi timbalannya dalam parti.

Tikaman dalam kempen dari negeri ke negeri itu, lukanya berdarah di Port Dickson.

Pimpinan Bersatu di Port Dickson memberi amaran kepada Rafizi dan Abdullah Sani, tak payah mimpi hendak turun berkempen dalam pilihan raya kecil kawasan parlimen itu nanti. Kalau turun juga, tiada jaminan lebih 2,000 ahli Bersatu akan mengundi Anwar, kata pemimpinnya.

Ahli-ahli Bersatu menyambut baik Anwar bertanding di Port Dickson. Mereka cuma tidak mahu Rafizi dan Abdullah Sani datang berkempen. Itu saja.

Abdullah Sani menjawab, mereka itu siapa, tunjuk lagak macam hendak jadi ketua dalam Pakatan Harapan. Bersatu parti setahun jagung, katanya. Iya juga, maklumlah, PKR parti terbesar di Parlimen kalau banding dengan parti lain dalam Pakatan Harapan.

Abdullah Sani bertanya juga, apa sebab tidak boleh datang berkempen sedangkan calon yang bertanding itu dari PKR – bakal presiden parti pula.

“Nak halang saya, hebatkah mereka itu? Mereka siapa nak blacklist saya? Saya tak mahu layan.

“Sabah dan Sarawak pun saya turun, takkan Port Dickson – sebelah kawasan saya – tidak (turun). Insya-Allah saya akan turun,” katanya, seperti dipetik Malaysiakini.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir cepat menjarakkan partinya daripada apa yang berlaku di Port Dickson. Katanya, suara itu pandangan ahli parti – bukan pendirian parti. Beliau yang juga pengerusi Pakatan Harapan turut merestui Anwar bertanding di Port Dickson.

Dua lagi parti komponen PH – DAP dan Amanah – juga semalam mengalu-alukan Anwar bertanding pilihan raya kecil dan masuk ke Dewan Rakyat – urusan yang disifatkan “sudah lama tertangguh”.

Tetapi keadaan tidak juga reda.

Pemimpin di atas semuanya nampak okay; di bawah, sebahagian ahli Bersatu dan PKR berlaga angin, kerana Port Dickson. Antara ahli Bersatu di Port Dickson pun berlaga angin.

Abdullah Sani antara calon kem Rafizi Ramli yang mendakwa usaha Anwar Ibrahim jadi perdana menteri mahu digagalkan oleh Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2018.

Puncanya, Abdullah Sani. Dia heret Dr Mahathir dalam kempen pemilihan PKR. Dia dilaporkan ditegur dan dinasihati oleh Anwar.

Dia kemudian minta maaf kepada Dr Mahathir.

Tetapi beberapa minggu kemudian, dia menjelaskan permohonan maafnya itu – maafnya itu hanya di mulut saja.

“Saya memohon maaf kepada Tun, saya minta maaf kerana kita kena hormat kepada orang tua kita, dan ia menjadi tradisi,” katanya, seperti dipetik oleh Malay Mail.

“Saya mempertahan apa yang saya cakap dulu, apa yang saya dakwa, setakat ini tiada yang berkata dakwaan itu tidak benar.”

Apa yang Abdullah Sani dakwa? Dia dulu kata Dr Mahathir dan Daim ada rancangan menghalang Anwar daripada jadi perdana menteri.

Dr Mahathir – dan Anwar juga – sudah dua tiga kali ditanya dan menjelaskan bahawa peralihan kuasa antara mereka akan dilaksanakan seperti yang mereka janji sebelum pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Makanya, jalan Anwar hendak ke Parlimen ikut Port Dickson ini, ada Abdullah Sani bersamanya. Ada juga Rafizi dan sekutu dalam pasukannya yang dianggap istiqamah dengan Reformasi itu.

Selebihnya, Anwar juga bakal berdepan sebahagian rakyat yang kurang senang percaturan politik kosongkan kerusi untuk beliau jadi perdana menteri. Walau apapun yang dikatakan oleh pemimpin PKR dan PH untuk mewajarkan langkah politik kosong kerusi untuk Anwar jadi perdana menteri ini, mereka tidak boleh membungkamkan sebahagian suara rakyat yang letih melihat cara politik begitu.

Tidak sampai beberapa jam selepas kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan, peguam Siti Kasim yang selalu kontroversi menulis di sosial media, menggesa pengundi menolak Anwar.

Peguam terkenal Siti Kasim antara yang lantang menentang pengosongan kerusi untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2018.

“Jangan undi Anwar. Biar pembangkang menang. PKR dan keluarganya mesti diajar. Mereka sudah buat ini tiga kali,” tulisnya, merujuk dua pilihan raya kecil yang juga dipaksa sebelum ini untuk Anwar bertanding, di Permatang Pauh pada 2008 dan DUN Kajang pada 2014.

Anwar kemudiannya tidak dapat bertanding di Kajang. Yang bertanding ialah isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang kemudiannya tidak diperkenan jadi menteri besar Selangor menggantikan Khalid Ibrahim.

Tidak cukup dengan Siti Kasim yang sudah cukup riuh, peguam Ambiga Sreenevasan juga mempersoalkan tindakan Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusinya di Port Dickson untuk beri jalan kepada Anwar bertanding pilihan raya kecil.

Dia bertanya, kenapa tidak Dr Wan Azizah letak jawatan kerusi Pandan atau anak mereka, Nurul Izzah letak jawatan kerusi Permatang Pauh? Kenapa orang lain, tanyanya.

Sekurang-kurang sudah ada yang menawar diri untuk jadi calon bebas melawan Anwar atas soal prinsip – rakyat baru saja memilih wakil mereka, kenapa dipaksa sekali lagi semata-mata kerana beliau hendak jadi PM.

Itu sebabnya di Port Dickson nanti, Anwar akan ada banyak yang berlawan dengannya walaupun PKR dan PH Negeri Sembilan bunyinya macam hendak Anwar diberi jalan mudah. Kenapa jalan mudah? Sebab dia bakal pengganti perdana menteri yang dinamakan oleh PH.

Mana boleh, kata bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin. Umno dan BN mesti meletakkan calon di Port Dickson. Pilihan raya kecil itu bukan untuk menabalkan Anwar jadi perdana menteri. Anwar bukannya raja, sampai perlu “ditabal” begitu.

Pertabalan hanya untuk raja, kata ahli Parlimen Rembau itu.

Setakat ini belum pasti lagi apakah Umno akan meletakkan calonnya di Port Dickson. Setiausaha Agung Umno Annuar Musa kata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat parti minggu depan.

Biar apapun, Anwar pastinya akan berlawan dengan beberapa pihak lain, yang semuanya ada sesuatu dengan Port Dickson.

Anwar akan berlawan dengan ahli Bersatu yang lawan Abdullah Sani. Anwar akan berlawan dengan mereka yang berpendirian sama seperti Siti Kasim dan Ambiga.

Anwar juga akan berlawan dengan sebahagian ahli partinya sendiri – yang sekarang ini dituduh khianat, tamak dan lupa diri.

Tetapi apa ada masalah.

Ini Anwar Ibrahim – lawan tetap lawan.

Lawan sampai menang.

Lawan sampai jadi PM. – 18 September, 2018.

* Azam seorang wartawan dengan The Malaysian Insight. Anda boleh mengikutinya di Twitter . E-mel: [email protected]


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen