Calon bebas lawan Anwar di Port Dickson 


LALUAN Anwar Ibrahim untuk menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri menerusi pilihan raya kecil Port Dickson kini ada pencabar - Stevie Chan dari Kuala Lumpur.

Menyifatkan dirinya sebagai penyokong Pakatan Harapan, beliau menyatakan hasrat itu menerusi Twitter semalam.

“Benar. Saya berhasrat untuk bertanding sebagai calon bebas. Saya sudah tubuhkan satu pasukan untuk membantu saya berkempen,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi. 

“Kami sedang merangka manifesto untuk menjelaskan mengapa kami mengambil langkah ini dan apa yang boleh kami capai,” katanya. 

Pengumuman itu dibuat ketika Anwar mendapat kecaman umum kerana mengadakan pilihan raya kecil terlalu awal selepas Pilihan Raya Umum ke 14 pada Mei. 

“Ada proses tertentu dalam demokrasi yang perlu kita hormati. Gagal menghormatinya akan menjadikan ia bahan ejekan,” kata Chan yang terkenal menerusi postingnya di bawah akaun Twitter YouTiup dan kini @tapaimalaya.

Pengumuman itu turut mendapat reaksi positif, yang mana terdapat individu secara sukarela mahu membantunya dalam kempen pilihan raya itu. 

Chan berkata pasukannya bergantung kepada derma awam dan simpanannya sendiri untuk membiayai kempen pilihan raya. 

Beliau turut menegaskan langkah PD adalah salah. 

Penyandang kerusi itu yang merupakan pesara tentera laut Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu hanya empat bulan selepas dipilih bagi memberi laluan kepada Anwar. 

“Kita baru sahaja mula membentuk kerajaan, Mengapa perlu korbankan untuk cita-cita dan kesenangan seseorang?” soal Chan. 

Penyokong Anwar, termasuk isterinya, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, DAP dan Amanah bertegas menyatakan sudah tiba masanya Anwar kembali ke Dewan Rakyat. – 15 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen