KERAJAAN Barisan Nasional dahulu menyalahguna pelantikan pegawai dengan memberikan gred lebih tinggi kepada lantikan politik yang tidak layak, kata Ketua Setiausaha Negara Ismail Bakar.
Tambahnya, amalan itu sekarang sedang dibetulkan.
Katanya, tindakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sekarang bukanlah ‘sabotaj’ pegawai lantikan politik Pakatan Harapan.
“Pelantikan pegawai politik dahulu disalah guna. Menteri beri gred dan pegawai SPA tak berani kata tidak.
“Sekarang, dengan kerajaan baharu semuanya ikut peraturan. Pelantikan dibuat mengikut gred lantikan dibawah SPA,” kata Ismail kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi hari ini.
Beliau memberi maklum balas kepada dakwaan beberapa pegawai menteri yang SPA mensabatoj mereka dengan memberikan gred rendah dan menangguhkan gaji mereka.
Bagaimanapun, Ismail berkata pegawai yang tak berpuas hati dengan penjawatan itu boleh menghantar rayuan supaya gred mereka disemak semula.
“Saya akan minta SPA semak semula gaji permulaan dan gred menurut formula yang ditetapkan pada 2012.
“Pegawai berkenaan juga perlu memberikan bukti. Ada yang hanya ada SPM tetapi ada pengalaman kerja lama,” tambahnya.
Ismail berkata perkara itu sudah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet beberapa minggu lepas dan beliau diminta mempercepatkan proses lantikan itu.
“Mereka minta kami percepatkan proses. Akan jadi sukar jika pegawai tak terima gred (yang ditawarkan), mereka tak akan tandatangan kontrak dan proses (lantikan) akan tertangguh,” katanya.

Wujud juga kemungkinan yang pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2012 tentang pelantikan pegawai akan disemak semula atau diganti sepenuhnya, kata Ismail lagi.
“Sudah enam tahun sejak 2012. Kita boleh keluarkan pekeliling baharu atau kita boleh semak balik,” katanya.
Antara aduan yang diterima daripada pegawai lantikan baharu adalah gaji mereka tidak selari dengan pengalaman kerja dan SPA menentang arahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad walaupun beliau sudah menandatangani surat persetujuan.
Ogos lalu, dilaporkan yang kakitangan lantikan politik PH masih tidak menerima gaji atau surat tawaran walaupun sudah tiga bulan berkhidmat.
Malah beberapa pegawai mendakwa masih belum menerima kontrak dan gaji sehingga sekarang.
Dr Mahathir juga berkata pelaksanaan perubahan kerajaan baharu lambat dijalankan kerana ada pegawai atasan kerajaan “mensabotaj” pentadbiran baharu. – 11 September, 2018.
Komen