SURUHANJAYA Perkhidmatan Awam (SPA) dengan sengaja mensabotaj pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata beberapa sumber.
Tindakan mereka itu bertentangan dengan arahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada SPA dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata mereka.
Pegawai JPA didakwa membuat keputusan sendiri menyusun gred pegawai kepada menteri Kabinet yang baru dilantik, tambah sumber berkenaan.
Cadangan lantikan pegawai secara kontrak memerlukan surat persetujuan daripada menteri atau timbalan menteri serta surat persetujuan perdana menteri, mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2012, yang turut menetapkan tangga gaji pegawai terlibat.
Pekeliling itu bagaimanapun tidak menyebut kuasa SPA atau JPA untuk menukar gred perkhidmatan pegawai yang dicadangkan untuk lantikan.
“Mereka (JPA) kata, PM boleh beri persetujuan tetapi akhirnya JPA dan SPA yang akan menentukan gred pegawai berkenaan, sama ada layak atau tidak dengan gred yang dipersetujui,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Mereka yang terlibat ditawarkan gred 54 atau gred 52 oleh menteri tetapi diturunkan oleh SPA kepada gred 48, gred yang paling rendah untuk pegawai menteri.
“Alasannya kurang pengalaman,” kata seorang sumber di kementerian.
Antara syarat yang ditetapkan oleh SPA untuk pegawai yang dilantik oleh menteri atau timbalan menteri ialah pengalaman tiga tahun dalam sektor awam bersamaan dengan pengalaman setahun dalam perkhidmatan awam.
“Sekiranya setiausaha akhbar tidak pernah jadi setiausaha akhbar, SPA akan turunkan gred.
“Tiga tahun dalam perkhidmatan swasta bersamaan dengan setahun dalam perkhidmatan awam, jadi SPA boleh kurangkan gaji kerana pengalaman kerja hanya beberapa tahun saja,” kata seorang sumber lain.
Ini termasuk pegawai yang sudah berkhidmat pada kedudukan tinggi dalam sektor swasta.
Seorang lagi pegawai yang terjejas mendedahkan SPA memaklumkan kepadanya alasan gajinya lebih rendah ialah kerana kelayakannya tidak setaraf walaupun ada persetujuan daripada menteri.
Pegawai-pegawai ini juga sudah membuat rayuan untuk semakan gaji tetapi tidak dilayan oleh SPA.
“Kami terpaksa menulis beberapa surat rayuan dan tidak ada balasan,” kata seorang sumber.

Seorang lagi sumber di kementerian berkata isu itu berbangkit apabila JPA enggan menerima arahan daripada perdana menteri, sebaliknya mengambil tindakan atas budi bicara sendiri.
Isu berkenaan diangkat ke perhatian perdana menteri pada 17 Ogos dan dalam mesyuarat Kabinet berikutnya masalah itu didapati lebih melata dan menjejaskan banyak orang.
“Ini tidak pernah berlaku pada masa kerajaan Barisan Nasional (BN), apabila JPA hanya menjalankan arahan Kabinet. Tetapi pelik perkara ini berlaku sekarang,” kata sumber itu.
Beliau menambah perdana menteri terpaksa menyelesaikan masalah itu sekali lagi selepas itu.
The Malaysian Insight telah menghubungi Ketua Setiausaha Negara Ismail Bakar untuk reaksi beliau.
Laporan media bulan lepas mendedahkan pegawai kontrak lantikan kerajaan PH belum lagi menerima surat lantikan dan gaji walaupun hampir tiga bulan memegang jawatan.
Beberapa pegawai sehingga sekarang masih juga belum menerima surat kontrak dan gaji mereka.
Dr Mahathir sebelum ini berkata kerajaan baru ini agak lambat untuk melaksanakan perubahan yang diperlukan kerana pegawai kanan kerajaan “mensabotaj” pentadbiran baru PH. – 11 September, 2018.
Komen