Penjelasan Shafee tak meyakinkan, kata peguam Anwar


Bede Hong

Anwar Ibrahim mahu sabitan bersalahnya dalam kes liwat keduanya dibatalkan kerana wujud dakwaan pendakwa raya kes itu, Shafee Abdullah menerima RM9.5 juta daripada Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2018.

PENJELASAN Shafee Abdullah yang RM9.5 juta dibayar kepadanya adalah untuk kerja-kerja terdahulu dengan Umno tidak meyakinkan, kata peguam Anwar Ibrahim, Gurdial Singh Nijar.

Katanya, penjelasan Shafee yang bayaran sebanyak itu adalah untuk kerja-kerja 14 tahun tidak menyakinkan kerana beberapa sebab.

“Terutama sekali dalam persekitaran menyelubungi bayaran tersebut, masanya dibuat dan fakta bayaran itu dibuat oleh Najib.

“Saya mendesak Shafee untuk keluarkan penjelasan yang lebih meyakinkan bagi meredakan persepsi dan kebimbangan awam, kerana ia memberi implikasi kepada integriti sistem perundangan dan akhirnya mungkin juga kepada kedaulatan undang-undang,” kata Gurdial yang juga presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam).

Shafee yang kini membela Najib dalam kes rasuah dan pecah amanah berkaitan anak syarikat 1MDB, SRC International, menafikan dibayar RM9.5 juta untuk tugasnya sebagai pendakwa raya dalam rayuan kes liwat Anwar.

Anwar yang disabitkan bersalah pada 2014 dan dipenjarakan setahun kemudian, semalam berkata peguamnya menerima afidavit ditandatangani pegawai Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menyokong dakwaan bahawa Shafee dibayar “sejumlah wang” selepas mendakwanya.

Pegawai itu mendakwa Najib menandatangani dua keping cek pada 11 September 2013 bernilai RM4.3 juta dan 14 Februari 2014 bernilai RM5.2 juta dan Shafee menerima wang dalam akaunnya pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Anwar sebelum itu memfailkan permohonan supaya mahkamah membatalkan sabitan bersalahnya, kerana integriti pendakwaan terjejas susulan Shafee dibayar RM9.5 juta oleh Najib.

Dakwaan Anwar bersandarkan kepada laporan Sarawak report diterbitkan Jun tahun lepas, mendakwa pemindahan wang itu berpunca daripada akaun bank yang dibiayai hasil rompakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd yang meminjam RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Awam (KWAP).

Shafee dalam kenyataan hari ini mendakwa RM9.5 juta itu adalah upah kerja perundangan untuk Umno dan Barisan Nasional dalam 46 petisyen pilihan raya.

Beliau juga mendakwa Dr Mahathir Mohamad berkeras mahukannya sebagai pendakwa raya khas dalam kes Anwar. – 8 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen