PROGRAM Malaysia Rumah Keduaku masih kekal popular dalam kalangan warga asing dari China walaupun kerajaan telah bertukar.
Program itu membolehkan warga asing berpendapatan tinggi melanjutkan tempoh tinggal di negara ini selama 10 tahun.
Hampir satu pertiga daripada 38,000 warga asing yang memohon program tersebut antara 2002 dan 2017 merupakan warganegara China (11,386, 29.2%), disusuli keluarga dari Jepun (4,545, 11.7%) dan Bangladesh (3,944, 10.1%).
“Sudah tiga bulan (sejak kerajaan bertukar), namun jumlah permohonan tidak menunjukkan sebarang pengurangan,” kata Presiden Persatuan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2HAA) Lim Kok Sai kepada The Malaysian Insight.
“Sama ada jumlah pemohon dari China berkurangan atau tidak, kita perlu menunggu lagi enam bulan.”
Jumlah permohonan rakyat China terhadap program itu meningkat secara mendadak selepas Beijing memperkenalkan inisiatif One Belt, One Road pada 2013.
Daripada 731 permohonan pada 2012, jumlah itu meningkat hampir sekali ganda pada 2013 dengan jumlah 1,337 dan hanya sedikit menurun pada 2014 iaitu 1,307 sebelum melonjak semula kepada 2,923 permohonan pada tahun lalu.
Lim berkata pihaknya masih memantau sama ada keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengkaji semula projek Forest City di Johor yang dibangunkan firma China, Country Garden dan tidak menggalakan pemilikan kediaman mewah oleh warga asing di Malaysia, mampu mengubah trend tersebut.
Bagi memohon program itu, pemohon perlu berusia 50 tahun ke bawah dan mempunyai sekurang-kurangnya RM500,000 aset cair manakala mereka yang berusia 50 tahun ke atas perlu memiliki sekurang-kurangnya RM350,000 aset cair.
Semua pemohon termasuk golongan pesara perlu menunjukkan bukti dokumen yang menyatakan mereka memiliki pendapatan bulanan melebihi RM10,000.

Lim berkata syarikat pemaju di Kuala Lumpur dan Perak lebih berminat untuk menarik pembeli warga asing dengan menawarkan permohonan Program Malaysia Rumah Keduaku secara percuma dan mengecualikan bayaran permohonan sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun tiada urusan secara langsung antara hal pembelian hartanah tempatan dan program itu.
“Kami masih memproses permohonan seperti biasa. Pihak berkuasa amat bertegas dalam hal ini. Pemohon yang tidak memenuhi syarat tidak akan memperoleh visa,” katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya akan mengutamakan kuasa pembelian hartanah dalam kalangan orang Melayu berbanding menggalakkan pemilikan rumah oleh warga asing termasuk di Forest City.
Beliau berkata rakyat China yang membeli rumah di Forest City tidak akan diberikan status penduduk tetap. Pembeli dari Tanah Besar China diberikan tempoh tinggal yang lama tanpa visa kekal.
Lim berkata hanya visa jangka masa panjang sahaja disediakan untuk rakyat China menerusi Program Malaysia Rumah Keduaku.
Naib presiden MM2HAA Anthony Liew berkata kenyataan Dr Mahathir hanya ditujukan kepada Forest City dan tidak melibatkan projek hartanah yang lain.
“Rakyat China masih boleh memohon Program Malaysia Rumah Keduaku.
“Jabatan Pelancongan tidak mengeluarkan sebarang arahan, jadi kesannya tidak terlalu ketara,” katanya. – 8 September, 2018.
Komen