PUTRAJAYA sedang mengkaji semula Forest City, projek perumahan mega di Johor oleh pemaju China, kerana tidak menguntungkan rakyat Malaysia, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
“Kerajaan mahu mengkaji semula pembangunan Forest City kerana apa yang berlaku adalah, traksaksinya tidak dilakukan di Malaysia.
“Mereka ada program khas, di mana jika kamu melabur jumlah wang tertentu di China, kamu akan dapat rumah percuma di Forest City
“Kita tidak boleh benarkan ia berlaku kerana mereka bayar cukai di China dan transaksi dilaksanakan di China. Ia tak menguntungkan kita,” katanya pada sidang media Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Komen Azmin mungkin akan menimbulkan masalah kepada pemaju Forest Country dari China Country Garden Holdings Co, lebih-lebih lagi selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan mengenai pemilikan rumah asing di tanah Malaysia.
Projek yang menelan kos berbilion dolar di Gelang Patah itu merangkumi 700,000 rumah dan menyasarkan pembeli dari China.
“Mereka merancang untuk membawa 700,000 rakyat tanah besar China untuk memiliki hartanah di Forest City. Tetapi, kami mahu memastikan yang semua pelaburan dari China mencipta nilai kepada pemain tempatan,” kata Azmin.
Awal hari ini, Dr Mahathir memberitahu kongres bahawa kerajaan tidak mahu “pelaburan” asing yang terlibat dalam pembelian tanah di Malaysia, dibangunkan menjadi bandar untuk orang asing. – 1 September, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen