Umno, PAS dan MCA berkawan, kata Ahmad Maslan


Gan Pei Ling

Ahmad Maslan turun berkempen untuk MCA di Balakong semalam bersama-sama Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong (kiri) dan calon MCA Tan Chee Teong. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 September, 2018.

AHLI Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan adalah pemimpin tertinggi Umno pertama yang ikut berkempen di Balakong malam tadi, selepas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan membuat penampilan mengejutkan Selasa lepas.

“Kami tak ada pakatan rasmi: Umno, PAS, MCA, tetapi kami semua berada di bawah bumbung pembangkang. Pakatan kami longgar, tak rasmi. Kami kawan,” kata Ahmad kepada wartawan selepas diminta menjelaskan hubungan antara tiga parti itu selepas ceramah di Desa Baiduri malam tadi.

Hampir 100 orang, kebanyakkannya orang Melayu hadir di ceramah yang turut menampilkan Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong itu.

Ahmad diminta mengulas kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang yang menggesa pengundi Balakong menolak “pakatan tak suci” MCA, PAS dan Umno.

“Di satu pihak kita ada pemimpin MCA yang menuduh DAP menjual hak dan kepentingan orang Cina Malaysia, di satu pihak lagi kita ada pemimpin Umno dan PAS yang bersubahat menyerang DAP dan Pakatan Harapan (menuduhnya) mengkhianati hak dan kepentingan orang Melayu.

“Bagaimana matlamat yang bertentangan dan bercanggah boleh dicapai pada masa yang sama, pemimpin pakatan tak suci MCA/Umno/PAS masih belum jelaskan,” kata Lim dalam satu kenyataan semalam.

Hubungan MCA dan Umno bertukar keruh selepas kekalahan mengejutkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu. Parti yang mewakili kaum Cina itu bertanding di PRK Balakong menggunakan logo partinya sendiri berbanding lambang dacing BN yang lebih dikenali.

Calon MCA untuk PRK Balakong Tan Chee Teong. MCA menggunakan logonya sendiri berbanding logo dacing BN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 September, 2018.

Dalam kemelut terbuka Jun lalu, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mengecam Wee, berkata yang Umno tidak perlu terus membawa beban MCA dan parti itu perlu sedia membeli batu nisannya sendiri.

Wee ketika itu berkata MCA tidak lagi akan memberi sokongan membuta tuli kepada Umno dan tidak akan menanggung kesilapan Umno. Katanya, hakikatnya BN sudah tidak wujud lagi dan hanya tinggal nama.

MCA dalam usaha mencetuskan era baharu menerusi PRK Balakong selepas hanya menang satu kerusi Parlimen dan dua kerusi negeri pada PRU14 lalu. – 6 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen