PAS akhirnya berkempen untuk MCA di Balakong


Gan Pei Ling

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan (tiga dari kanan) berkempen untuk MCA di Taman Tun Perak, Balakong malam tadi. Turut kelihatan Presiden MCA Liow Tiong Lai bersama penyokong MCA. – Gambar Facebook, 5 September, 2018.

SETIAUSAHA Agung PAS Takiyuddin Hassan berkempen untuk MCA buat kali pertama di Cheras malam tadi, menggesa pengundi Balakong untuk menyokong parti etnik Cina itu pada Sabtu ini.

Ini minggu terakhir dalam tempoh 21 hari berkempen untuk pilihan raya kecil (PRK) itu.

“Terdapat 56 kerusi dewan undangan negeri (DUN) di Selangor, Pakatan Harapan (PH) menang 51, Umno empat dan PAS satu kerusi pada PRU14. Hanya lima kerusi milik pembangkang. Ini tidak sihat.

“Tidak cukup wakil pembangkang untuk semak dan imbang kerajaan. MCA akan menjadi pembangkang yang baik dan efektif. Sila undi pembangkang, undi MCA pada Sabtu ini,” kata Takiyuddin ketika berucap di pasar malam di Taman Tun Perak.

Kira-kira 50 orang hadir ke ceramah MCA, termasuk penyokong Umno.

Sejak Pakatan Rakyat yang kini terbubar, memenangi Selangor pada 2008, jumlah wakil rakyat pembangkang di sidang DUN menurun daripada 20 pada 2008, kepada 12 pada 2013 dan lima tahun ini.

Takiyuddin juga mengkritik kerajaan PH kerana gagal memenuhi janji 100 harinya, tema biasa yang diangkat oleh MCA sepanjang PRK ini.

Calon MCA Tan Chee Teong akan melawan calon PH, Wong Siew Ki dalam PRK itu susulan kematian penyandangnya, Eddie Ng Tien Chee dalam nahas jalan raya pada 20 Julai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2018.

Ketika ditanya wartawan selepas ceramah itu, sama ada penyokong PAS di Balakong akan ragu-ragu untuk mengundi MCA kerana parti itu lantang membantah hudud sebelum ini, Takiyuddin berkata beliau yakin ahli PAS akan mematuhi arahan presiden untuk menyokong MCA.

“Ahli PAS akan ikut presiden. Anda perlu ingat kami terima lebih undi di sini berbanding BN pada PRU14. Jika kami gabung undi, kami akan dapat lebih banyak.

“Perkara ini mudah saja. Kita perlukan pembangkang yang kuat atas semangat demokrasi, untuk tujuan semak dan imbang. PAS sentiasa menjadi pembangkang, sekarang BN pun pembangkang juga.”

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan ahli dan penyokong PAS di Balakong masih belum buat keputusan untuk menyokong MCA atau tidak.

Calon MCA Tan Chee Teong akan melawan calon PH, Wong Siew Ki dalam PRK itu susulan kematian penyandangnya, Eddie Ng Tien Chee dalam nahas jalan raya pada 20 Julai.

Ng menewaskan calon BN Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali daripada PAS dengan 35,538 undi pada 9 Mei.

PAS menerima 6,230 undi, sementara MCA (5,874) dan DAP sebanyak 41,768 undi pada PRU14. – 5 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen