MCA patut beli 'batu nisan' sendiri, kata Annuar Musa


Ketua Penerangan Umno Annuar Musa mengingatkan MCA mengenai jasa Umno terhadap parti Cina itu dengan memberikannya pelbagai jawatan dalam Kabinet meskipun ia mengalami kekalahan teruk dalam PRU13. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2018.

PEMIMPIN kanan Umno bertegang urat dengan pemimpin kanan MCA, tiga minggu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyingkirkan Barisan Nasional (BN) dari Putrajaya, dengan masing-masing menyalahkan antara satu sama lain sebagai punca kekalahan itu.

Terbaru, Ketua Penerangan Umno Annuar Musa membidas Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong yang dilaporkan berkata era MCA menanggung kesalahan parti Melayu itu sudah tamat.

“Saya pula ingin berkata era Umno menanggung dan mengendong MCA yang sudah lama lumpuh juga sudah tamat,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut mengingatkan MCA mengenai jasa Umno terhadap parti Cina itu dengan memberikannya pelbagai jawatan dalam Kabinet meskipun ia mengalami kekalahan teruk dalam PRU13.

“Apakah MCA lupa sejak PRU13, MCA telah diserang ‘angin ahmar’ dan hilang upaya? Tapi kita tetap mengendong mereka. Mereka di beri tempat yang empuk dalam kerajaan dengan harapan mereka pulih.”

Namun, kata Annuar, kesempatan itu tidak digunakan sehabis baik oleh MCA untuk meraih semula sokongan kaum Cina.

“Beberapa hari sebelum PRU14, MCA memberi laporan kononnya pengundi Cina menunjukkan peningkatan sokongan kepada BN. Kononnya 25% hingga 35% menyokong BN.

“(Tetapi) apa realitinya? Hanya 2% lebih sahaja pengundi Cina telah memilih BN dan ia menjadi faktor terbesar tewasnya berpuluh kerusi yang mempunyai ramai pengundi Cina, termasuk kerusi presiden MCA sendiri!!!” katanya.

Beliau juga menegaskan Umno tidak menyerang MCA, walaupun parti komponen BN itu lemah, kerana perasaan hormat.

“Justeru kenyataan seolah-olah MCA yang selama ini mengendong Umno, perlu difikir dengan hati yang jujur

“Lainlah kalau serangan ‘angin ahmar’ kali kedua selepas PRU13 dulu begitu parah sehingga MCA bukan sahaja lumpuh dan hilang upaya, tetapi juga turut hilang daya berfikir.

“Mungkin ada baiknya MCA buat persiapan untuk membeli ‘batu nisan’ mereka sendiri,” katanya yang juga merupakan ahli Parlimen Ketereh.

Wee dalam wawancara bersama Sin Chew Daily berkata MCA tidak akan lagi memikul tanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan Umno. 

“Bawah pimpinan sekarang, apa saja yang diperkatakan Umno bukan lagi tanggungjawab kami.

“Apa saja (perkara salah) yang dikatakan bekas menteri dan pemimpin dulu, saya tidak akan ‘membayar’ bagi pihak mereka. Maaf, kami tidak akan lagi berbuat demikian,” katanya seperti dipetik akhbar berbahasa Cina itu. – 2 Jun, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen