Hukuman sebat terhadap pesalah LGBT bukan satu pertandingan, kata Mujahid


Looi Sue-Chern

MENGHUKUM LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) beragama Islam tidak sepatutnya menjadi satu pertandingan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa selepas pihak berkuasa agama di Pahang mengumumkan mungkin akan turut mengenakan hukuman sebat terhadap pesalah terbabit.

Pengumuman dari Pahang itu dibuat sehari selepas dua wanita dihukum sebat enam kali setiap seorang di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu selepas didapati bersalah melakukan hubungan sejenis. Kedua-dua tertuduh berusia 32 dan 22 tahun, turut didenda RM3,300 setiap seorang.

Mujahid berkata menyebat pesalah LGBT tidak seharusnya dilihat sebagai pertandingan atau perlumbaan.

“Saya tidak tahu tentang Pahang. Ia tidak sepatutnya menjadi pertandingan untuk menghukum kerana kebencian terhadap kesalahan seperti itu.

“Semua penguatkuasaan undang-undang perlu berdasarkan kepada prinsip keadilan dan dengan proses yang ditetapkan,” kata Mujahid yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, kepada The Malaysian Insight.

Di Terengganu, salah satu negeri paling konservatif di Malaysia dan ditadbir oleh parti Islam PAS, hukuman terhadap dua wanita terbabit dijalankan oleh pegawai dari Jabatan Penjara Kajang di mahkamah syariah di hadapan 100 saksi.

Terengganu semalam menghukum sebatan enam kali setiap seorang terhadap sepasang wanita yang melakukan hubungan sejenis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2018.

Berita hukuman sebat itu menjadi perhatian di dalam dan luar negara dengan beberapa kumpulan hak wanita mengecam tindakan itu.

Lawyers for Liberty menyifatkan hukuman sebat secara terbuka itu keji dan tidak selari dengan cara Islam di Malaysia berkembang.

Pengarah eksekutifnya, Latheefa Koya berkata mahkamah syariah berani untuk menjustifikasikan tindakannya, menyatakan sebat itu tidak “menyakitkan” wanita berkenaan atau privasi pesalah “dilindungi” kerana mereka pintu keluar masuk khas ke kawasan mahkamah.

“Kenyataan itu sangat tak masuk akal apabila anda mengambil kira hukuman itu dijalankan dengan kehadiran 100 orang termasuklah orang awam, tidak termasuk lagi penderitaan mental dialami wanita berkenaan yang pastinya menderita kerana kejadian itu,” katanya.

Hukuman sebat mengikut syariah biasanya dibuat secara tertutup, tetapi sesetengah negara membenarkan sebat di tempat awam.

Sebelum insiden di Terengganu, hukuman sebat secara terbuka dijalankan oleh mahkamah syariah di Tawau, Sabah sebanyak tiga kali atas pesalah zina.

Pada Julai tahun lalu, satu pindaan dibuat pada Enakmen Prosedur Jenayah Syariah Kelantan 2002 untuk membolehkan hukuman sebat secara terbuka dibuat atas budi bicara mahkamah di negeri diperintah PAS itu.

Susulan itu, penganalisis Penang Institute, Nidhal Mujahid menulis satu kertas kerja berkenaan hukuman sebat secara terbuka di mana beliau berkata ia boleh dilakukan tanpa memerlukan Parlimen meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah).

RUU yang lebih dikenali sebagai RUU355 itu dibentangkan di Dewan Rakyat awal tahun lalu oleh Presiden PAS dan juga Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang sebagai RUU peribadi untuk memperkasakan hukuman syariah.

Melihat kepada Sabah pernah melakukannya lebih awal, Nidhal berkata kelulusan RUU itu tidak perlu dan pindaan Kelantan akan menjadikan hukuman sebat secara terbuka sebagai mandatori.

“Dalam akta lain, mahkamah syariah hilang kuasa budi bicara untuk tidak membenarkan hukuman sebat terbuka selepas menjatuhkan hukuman sebat.

“Hukuman sebat secara terbuka mandatori boleh jadi dilakukan di seluruh negara jika negeri lain mengikut jejak langkah Kelantan. Ia akan membawa kesan besar yang memerlukan kajian mendalam dan perbincangan terbuka,” tulis Nidhal.

Pada masa ini, walaupun dengan gesaan dan kecaman beberapa kumpulan sivil, negeri dikawal Umno, Pahang yang berjiran dengan Terengganu turut mahu menghukum pesalah LGBT dengan hukuman sebat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang Mohamad Noor Abdul Rani dipetik sebagai berkata ia sesuai dan patut disokong untuk menunjukkan keseriusan pihak berkuasa agama dalam menguatkuasakan undang-undang membanteras gaya hidup LGBT. – 5 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen