Pahang buat kajian laksanakan hukuman sebat ke atas LGBT


SEBUAH lagi negeri pantai timur, Pahang juga membayangkan akan melaksanakan hukuman sebat ke atas kumpulan minoriti seksual LGBT, lapor Bernama hari ini.

Bernama menerusi Twitternya berkata perkara itu sedang dikaji menurut kenyataan pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip).

“Kita menyokong (sebat) sebab ia melambangkan keindahan Islam, tapi masih belum diputuskan lagi…kita sedang melihat perkara itu,” kata Pengarah Jaip Mohamad Noor Abdul Rani dipetik Bernama. 

Beliau berkata ia adalah wajar dan sokongan harus diberi bagi menunjukkan keseriusan pihak berkuasa dalam melaksanakan undang-undang membendung amalan LGBT.

Perkembangan terbaru ini adalah susulan hukuman sebatan ke dua orang wanita dituduh mengadakan hubungan lesbian di Terengganu semalam.

Pasangan itu yang berumur 22 dan 33 tahun masing-masing disebat enam kali kerana didakwa cuba mengadakan hubungan seks dalam sebuah kereta tahun lepas. Mereka juga didenda RM3,300 oleh Mahkamah Syariah Kuala Terengganu.

Hukuamn sebat yang dilaksanakan ke atas wanita berkenaan adalah yang pertama dikenakan ke atas pasangan lesbian, satu jenayah dalam hukum Islam.

Sebatan itu mencetuskan kecaman dalam negara dan antarabangsa.

Kumpulan pembela hak wanita, Justice for Sisters dan Sisters in Islam berkata hukuman sebat hanya boleh dikenakan ke atas banduan berdasarkan Peraturan Penjara dan Akta Penjara, sedangkan kedua-dua wanita tersebut bukanlah banduan.

Manakala, Pengarah Eksekutif Interim Amnesty International Malaysia Gwen Lee berkata, sebatan ke atas dua orang dewasa yang secara rela melakukan hubungan seks mengembalikan Malaysia ke zaman gelap dan mengecam kerajaan Pakatan Harapan kerana gagal melindungi hak LGBT. – 4 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen